Friday, August 27, 2010

Rezeki Makrifat Dan Hakikat

Kata Sheikh Ibni Arabi :

Bermula tiap-tiap orang yang percaya ia daripada dalil maka tiada dapat dipegang pada
Imannya kerana bahawasanya ia Nazhori, maka iaitu mendatangkan bagi kecederaan;
bersalahan Iman yang Dhoruri iaitu yang didapati dalam hati dan tiada boleh
ditolakkan; dan demikian lagi tiap-tiap ilmu yang hasil daripada fikir dan nazhor maka
ia Madkhul tiada sejahtera ia daripada masuk syubahat atasnya.

Keterangan Suluk

Ibni Arabi telah membahagikan keadaan Iman itu kepada dua bahagian iaitu;
1. Iman Nazhori (berdasarkan dalil akal dan penglihatan zhohir)
2. Imam Dhoruri (yang dicampakkan dalam hati secara langsung dari Allah)

Adapun perbezaan antara dua jenis Iman adalah tersangat jauh bezanya kerana Iman
yang Nazhori itu adalah semata-mata dengan pengajian Ilmu Akal di mana untuk
membuktikan Wajudnya Allah ini, Alam ini digunakan sebagai dalilnya. Ada Alam ini
menunjukkan adanya Allah yang menjadikannya.

Manakala Imam Dhoruri pula adalah keyakinan kepada Wujudnya Allah tanpa
sedikitpun Nazhor (tilik atau fikir) bahkan semata-mata keimanan yang dianugerahkan
dalam hati secara langsung dari Allah tanpa sebarang usaha pengajian yang memerlukan
bukti dan dalil. Malah Allahlah yang menjadi dalil pada wujudnya Alam ini.
Dengan demikian segala bentuk Ilmu Pengetahuan yang bersumberkan akal dan logik
semata-mata tidak dapat lari dari Madkhul (ada penyakit/kecacatan) yang
memungkinkan berlakunya kesalahan, kekeliruan, salah kefahaman atau berdasarkan
atas gerakan nafsu syahwat yang halus lagi tersembunyi. Ilmu akal ini mungkin benar
dan betulnya tetapi kesilapan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Seperti contohnya orang yang mengatakan Ada Alam ini menunjukkan adanya Allah.
Jika ditanya "Jika tidak ada Alam ini maka adakah Allah juga tidak ada??". Inilah antara
kerapuhan dan kecacatan atau penyakit yang ada pada Ilmu Yang Hasil dari fikir sematamata.

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari
Hendaklah dibelanjakan oleh orang yang mempunyai keluasan daripada keluasannya
dan mereka itulah orang yang Washil dan barangsiapa dipicikkan atasnya rezekinya
maka hendaklah dibelanjakan daripada barang yang dianugerahkan Allah akan dia dan
mereka itulah orang yang berjalan kepadaNya.

Pengertianya Oleh Pengarang (Tok Pulau Manis).

Segala orang yang Wasil itu telah diluaskan(Dikayakan) atas mereka itu rezeki hatinya
(dengan) Maariful Lidunniyah dan faham hakikat daripada Allah dengan Isyarat dalam
Muqhotobah(berbicara) dan Munajat hingga mengambil dalil mereka itu dengan dia
atasnya(Allah). Maka mereka itulah orang yang ahli keluasan. Maka keluar mereka itu
daripada penjara melihat lainnya kepada padang tauhidNya. Maka luaslah Nazhor
mereka itu, maka dibelanjakannya atas sekadar barang yang kepada mereka itu
keluasannnya(Ilmu Makrifat).

Dan segala orang yang Salik itu telah dipicikkan (disempitkan) mereka itu dalam rezeki
Ulum(Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat). Maka terpenjara mereka itu dalam picik
Khayaalat Al-Rusum(bekas-bekas Masyiwallah/masalah keduniaan). Maka
dibelanjakan mereka itu daripada barang yang didatangkan Allah akan mereka itu
daripada rezeki yang picik hingga berkehendak kepada Istidlal(dalil) atas yang tiada
berkehendak ia kepada dalil (yakni Allah).

Keterangan Suluk

Perbicaraan Kalam hikmah di atas adalah berkisar kepada perbezaan anugerah rezeki
daripada Ilmu Makrifat dan Faham Hakikat kepada dua golongan manusia iaitu;
1. Orang yang Washil ila LLah iaitu orang telah sampai hatinya kepada Allah
2. Orang orang Salik iaitu mereka yang sedang dalam perjalanan hatinya menuju
kepada Allah.

Adapun orang-orang yang Washil yang terdiri dari golongan ArifbiLLah telah diluaskan
pandangan makrifat mereka dengan Ilmu Yang Terus dari Allah yang memenuhkan hati
mereka itu dengan penerangan makrifat dan hakikat pada segala sesuatu sama ada yang
dipandang, yang dilihat, yang didengar, yang disentuh atau yang dirasai.

Dalam setiap hal atau keadaan, Jiwa mereka sentiasa terbuka dan dihadapkan dengan
isyarat-isyarat Ketuhanan melalui Muqhotobah (berbicara Sir dengan Allah) dan Munajat.
Dengan cetusan Ilmu Laduni yang hasil dari isyarat-isyarat ini, mereka menjadikannya
sebagai dalil ke atas Keesaan dan Kamalatnya Allah. Mereka mengenali Allah dengan
Allah di mana Allahlah yang meliputi segala sesuatu. Dengan itu mereka ini digelar
sebagai orang yang ahli keluasan (makrifat dan hakikat).

Dengan rezeki (Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat) inilah mereka ini dibebaskan
daripada kurungan(penjara) pandangan basyariah kepada padang Tauhid Uluhiyah dan
Rububiyah di mana pandangannya hanya Allahlah yang semata-mata wujud dan
memerintah segala sesuatu di Alam ini tanpa sedikitpun campurtangan dirinya atau
makhluk.
Merekalah Ahli Tauhid yang bebas dari sebarang syirik sama ada Syirik Jali atau Syirik
Khofi. Mereka tenggelam dalam lautan musyahadah dan mukashafah dengan Allah.
Maka luaslah Nazhor mereka itu, maka dibelanjakannya atas sekadar barang yang

kepada mereka itu keluasannnya (Ilmu Makrifat) bermaksud telah memenuhi hati mereka
dengan Ilmu Makrifat yang menjadikan mereka itu Ahli-ahli hikmah yang akan
menggunakan pengetahuannya sama ada untuk kebaikan dirinya atau untuk disebarkan
kepada orang lain mengikut kadar makrifat yang dianugerahkan dari Allah sebagai usaha
untuk memaknakan Tauhid.

Benarlah kata-kata setengah sufiah
"Sufi itu mulanya satu titik air dan menjadi lautan. Fananya diri itu meluaskan
keupayaannya. Keupayaan setitik air menjadi keupayaan lautan."

Adapun golongan kedua iaitu orang-orang Salik hanya mendapat rezeki yang sedikit
sahaja mengenai Ulum(Ilmu Makrifat) dan faham (hakikat).Dengan sebab itu masih lagi
dipenjara dan dibayangi dengan kesempitan khayalan pemikiran mereka dengan
Masyiwallah (sesuatu selain daripada Allah) yang terdiri daripada masalah-masalah
keduniaan, keperluan basyariah dan runtunan nafsu syahwat.

Dengan ini mereka hanya mempunyai sedikit sahaja petunjuk dan cahaya makrifat dan
hanya mampu menggunakan pengetahuan yang sedikit ini sehinggakan terpaksa
memadai dengan menjadikan Alam ini sebagai dalil akan wujudnya dan berkuasanya
Allah sedangkan jika mereka faham dan meluas pengetahuan mereka mengenai Ilmu
Makrifat, mereka tidak akan menggunakan sesuatu yang tidak wujud ini (Alam) sebagai
dalil untuk membuktikan sesuatu yang benar-benar Wujud(Allah). Bagaimana bisa
dikenal (dalam erti kata yang sebenarnya) sesuatu yang ada(Allah) dengan bersandarkan
kepada sesuatu yang tidak ada????.

Inilah maksud "Maka dibelanjakan mereka itu daripada barang yang didatangkan Allah
akan mereka itu daripada rezeki yang picik hingga berkehendak kepada Istidlal (dalil)
atas yang tiada berkehendak ia kepada dalil(yakni Allah)”.

Berkata Pengarang Kitab Hikam
Dan tiadalah diberati Allah akan manusia itu melainkan barang yang telah didatangkan
akan dia daripada Ilmu atau Amal atau Rezeki lagi dijadikan Allah kemudian daripada
sukar itu mudah bagi yang berdiri pada hak waktunya dan bagi yang tasdiq janjinya.

Keterangan Suluk
Walaupun jauhnya beza ilmu atau pandangan antara orang-orang Washil dengan orang
Salik, namun Allah tidaklah memberati orang-orang Awam atau Salik dengan sesuatu
yang mereka tidak mampu untuk melakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh
orang-orang yang Wasil.

Ini adalah hal yang berkaitan dengan anugerah atau kurnia. Maka dalam apa jua
kedudukan kita apa yang perlu bagi seorang hamba ialah menuntut ilmu pengetahuan
yang benar serta beramal dengannya. Jika ada rezeki kurnia daripada Allah, maka
sesuatu yang sukar itu akan menjadi mudah atau sesuatu yang sempit akan menjadi luas.
Itupun hanyalah disediakan untuk mereka yang berdiri dengan melaksanakan hak
waktunya sama ada semasa sempit atau luas dan pada mereka yang benar-benar teguh
perjanjianya untuk menjadi hamba Allah yang takbud kepadaNya.

SEMOGA ALLAH MEMBERI TAUFIK DAN HIDAYAHNYA
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah
YangMaha Mengetahui dan Maha Besar

No comments: