Friday, August 27, 2010

Kelebihan Zahid


Dan tiadalah jalan kepada mengenal dia (orangArif)
melainkan dengan zhohir asar (nyata bekas/kesan)
makrifat atasnya dan iaitu ZAHID dalam dunia.
Maka dengandemikian itu,
kata Maalif
( Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari)

Tiada sedikit amal yang zohir daripada hati orang yang zahid dan tiada
banyak amal yang zohir daripada hati orang yang gemar akan dunia.

Keterangan Oleh Tok Pulau Manis
Tiadalah sedikit amal yang zohir daripada hati orang yang zahid dalam dunia kerana
amalnya itu diterima kerana selamatnya daripada segala Afat (penyakit yang
membinasakan dia) .

Keterangan Suluk
Zahid mengikut guru Suluk ialah benci kepada tiap-tiap perkara yang lalai daripada
Allah sebaliknya mahabbah (kasih/cinta) kepada Allah semata-mata. Adapun
alamatnya ialah bersamaan di sisinya antara emas dan tanah dan serupa sahaja antara
kaya dan miskin. Seorang yang zahid ialah seorang yang dingin dan sunyi hatinya
daripada cenderung kepada sesuatu selain daripada Allah. Adapun makna dingin hati
seperti yang diutarakan oleh Imam Ghazali ialah menghapuskann fikiran seseorang
terhadap dunia dan memandangnya kotor, dan sangat mengingkarinya. Dan tidak
tertinggal dalam hatinya untuk mengusahakan dan menginginkannya.
Mengikut maksud kalam hikmah di atas, amalan yang terbit atau lahir dari hati
seorang yang zahid ini, akan diberikan balasan pahala yang tiada kehinggaanya di sisi
Allah kerana telah selamat daripada semua jenis penyakit dan perosak amalan. Dalam

erti kata yang lainnya amalan orang yang zahid ini menjejaki hakikat ikhlas yang di
mana tiada dicampuri oleh sesuatu kecenderungan dan keinginan selain daripada
untuk sampai kepada Allah.
(Keterangan selanjutkan akan dibahaskan dalam perbincangan seterusnya.)
Berkata Pengarang Kitab Hikam
Dan maksud (tempat tilik) Allah Taala daripada segala hambanya itu ialah kepada hati
hambanya seperti yang telah tersebut dalam hadis bahawasanya Allah Taala "Tiada
menilik ia kepada segala rupa kamu dan hanyasanya menilik ia(Allah) kepada segala hati kamu"
dan apabila telah sunyi hati itu daripada kasih kepada dunia maka diamalkan
lawannya iaitu (mahabbah) yang bermaksud kasih dan cinta kepada Allah yang
merupakan maqam tertinggi yang dianugerahkan bagi orang-orang Yang WashililaLah.
Ini adalah kerana hati itu tiada sunyi ia daripada sesuatu dan lawannya (sama ada
zahid atau sesuatu selain Allah). Dan kerana inilah firman Allah Taala bagi Nabi Daud
Alaihissalam.
"Hai Daud jikalau ada engkau kasih akan daku maka keluarkan oleh mu akan kasih
dunia daripada hatimu kerana kasih kepada Aku(Allah) dan kasih kepada dunia itu
tiada boleh berhimpun keduanya dalam satu hati selama-lamanya".
Dan adalah amal yang sholeh selepas daripada Tauhid itu ialah zahid dan dengan dia
(Zahid) terlebih besar kepada Allah Taala walaupun sedikit amal sekalipun kerana
syaitan itu tiada boleh mengerasi baginya. Ini adalah kerana orang yang zahid itu
dengan sendirnya menjauhkan syaitan daripada kekerasan (tipu daya syaitan) ke
atasnya.

Maka jadilah ia (tipu daya syaitan) yang memberi cedera dalam ikhlas dan khidmat
(kehambaannya).
Dan lagi adalah orang yang zahid itu akan meninggalkan segala bahagian dunia
daripada kebesaran dan harta dan martabat dan puji dan kesempurnaan. Maka jadilah
ia hampir kepada berbahagia sejahtera (selamat/terhindar) daripada Ifah (penyakitpenyakit
hati). Maka amalnya itu (dikira/nilai) amat banyak dan jikalau sedikit
sekalipun dan pahalanya kepada Allah itu amat besar.

Dan segala orang Roghib (gemar) pada dunia itu maka segala amalnya itu memberi
cedera dalam ikhlas mereka itu dengan sebab gemar mereka itu pada dunia. Maka
tiada diterima amal daripada mereka itu. Maka jadilah sedikit walaupun banyak
daripada amal mereka itu kerana diperoleh kurang dalamnya.

Keterangan Suluk
Sifat utama orang yang zahid ialah semata-mata ikhlas dan taqarrub kepada Allah
Taala. Tidak ada tujuan ibadatnya kerana mengharapkan sesuatu keuntungan yang
bangsa keduniaan atau keakhiratan seperti pangkat, kedudukan, kesenangan, harta
waima pahala, maqam disisi Allah atau karamah (perkara-perkara yang mencarik adat
seperti berjalan atas air atau melipatkan bumi dsb).

Sesungguhnya berhajatnya hati atau tuju hati kepada perkara-perkara ini adalah
penyakit-penyakit hati yang akan merosakkan kemurnian Ubudiyah dan seterusnya
menggugurkan pahala amalan. Jika hati telah bersih dari kecenderungan kepada
sesuatu selain Allah, maka terselamatlah ia dari godaan dan tipudaya syaitan.
Ini adalah kerana jarum atau senjata utama syaitan dalam menyesatkan perjalanan hati
seorang Salik itu ialah apabila ada "sesuatu kehendak lain" dalam amalan atau ibadat
mereka.

Sebagai contohnya kita lihat perihal seorang yang mengajar ilmu agama yang
mengharapkan sanjungan masyarakat atau sesuatu habuan yang berbentuk wang
ringgit sebagai balasan penat lelahnya akan mudah mendapat serangan tipudaya iblis.
Syaitan akan menyemaikan sifat-sifat sombong dan bongkak kepada ulama tersebut di
samping sifat-sifat riya dalam usaha untuk terhasilnya maksud mendapat sanjungan
masyarakat.

Cara tipuan dan penyakit ini sememangnya tersangat halus dan sukar dikesan. Ulama
tersebut akan mengucapkan sesuatu kalimah pengajaran yang boleh menarik
perhatian orang lain, mengkritik dengan bijak tetapi mengandungi keangkuhan pada
pandangan-pandangan ulama lain dan memperelokkan dan menghiasi zhohir mereka
dengan sifat yang lemah-lembut, warak, hebat dsb.

Demikian juga jika diberi ganjaran upah atau elaun yang sedikit, ulama-ulama ini
akan tersinggung malahan cuba membanding-bandingkan pendapat orang lain yang
lebih lumayan ganjarannya. Mereka akan mengajar ugama pada tempat-tempat di
mana mereka akan mendapat bayaran yang lebih dan dengan mmeninggalkan tempattempat
yang kurang habuannya atau kurang sambutan orang yang datang.

Sifat-sifat yang roghib atau gemarkan dunia ini seterusnya akan membenihkan sifatsifat
syataniah yang lain yang akan merosakkan amalan mereka. Alangkah rugi dan
jahatnya mereka ini kerana telah menjadikan/menjual akhirat mereka untuk mencari
dunia. Sepatutnya usaha agama ini, dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa
sebarang upah atau maksud lain, sebab kerja-kerja agama adalah kerja-kerja sabilillah
untuk Allah semata-mata sebagaimana ulama-ulama terdahulu.

Ini adalah satu contoh berkaitan dengan betapa tidak selamatnya dan betapa mudah
berpenyakitnya hati yang gemar kepada dunia. Walaupun banyak yang dilakukan

diusahakan namun ganjarannya adalah sedikit cuma jika dibandingkan dengan
balasan Allah kepada mereka yang zahid dengan amalan mereka.
Dengan sebab itulah amalan orang yang zahid itu akan dikira berharga dan bernilai
tinggi walaupun sedikit sahaja. Berlawanan dengan mereka yang ada tujuan
keduniaan (selain dari Allah), amal mereka tidak ada nilai dan harga walaupun
banyak dikerjakan.
Dari kerana inilah guru suluk telah memberi satu pesanan dan ingatan yang besar
terutamanya pada murid-murid yang ingin menuntut ilmu. Carilah guru-guru atau
ulama yang mengajar secara ikhlas, yang hanya mengajar kerana Allah dan dengan
Allah kerana belajar dengan mereka ini akan membuahkan keberkatan di mana kita
akan dapat memahami rahsia-rahsia ilmu tersebut di samping dapat mengamalkannya
dengan mudah. Berlainan jika menuntut ilmu dengan guru yang mengharapkan
dunia, kita sendiri akan rosak (terutamanya keruhanian kita) kerana menerima
sesuatu daripada orang yang telah rosak dan berpenyakit; jauh sekali untuk dapat
mengamalkannya.

Berkata Pengarang Kitab Hikam
Dan sesungguhnya telah disifatkan Allah Taala bagi segala orang yang mukmin itu
dengan banyak amal kerana mengandung akan dia daripada wujud ikhlas dan
ketiadaan Riya Un Nas (buat kerana manusia) dan segala orang yang munafik itu
dengan sedikit kerana yang mengandung atasnya daripada tiada ikhlas dan wujud
Riya unNas.

Keterangan Suluk
Tersingkaplah sedikit rahsia bagaimana orang-orang mukmin mendapat ganjaran
pahala yang berlipat kali ganda walaupun dengan amalannya yang sedikit.

Seumpama sebiji sahaja pahalanya tetapi nilainya adalah berlian. Apa guna setimbun
amal tetapi ianya adalah timbunan batu-batu biasa sebagaimana yang dilakukan oleh
orang-orang ada Riya kepada manusia dan kepentingan-kepentingan lain.
Berkata Pengarang Kitab Hikam
Dan telah diceritakan oleh Sayyidi Syeih Abdullah Ibni Mas'ud RA. bahawasanya:
"Dua rakaat daripada orang yang zahid yang alim itu terlebih baik daripada ibadat
orang yang abid yang mujtahid (bersungguh-sungguh dengan ibadatnya sehingga ke
akhir zaman".

Dan kata Abu Muhammad Sahal RA. bahawasanya dikurniai orang yang zahid itu
pahala segala orang yang (didapati oleh) alim dan segala orang yang abid kemudian
dibahagikan atas segala mukmin pahala segala amalnya dan tiada dilihat dalam hari
kiamat yang terlebih afdal daripada orang yang zahid yang alim lagi warak.
Dan kata Sheikh Abdullah Al-Kursi; telah mengadukan setengah manusia bagi
seorang laki-laki daripada orang yang sholeh bahawasanya selalu berbuat ia akan
amal kebajikan dan tiada dapat manis dalam hati. Maka katanya (Sheikh Abdullah Al-
Kursi) Ini adalah kerana bahawasanya kepadamu ada anak iblis dalam hatimu iaitu
dunia. Dan tidak dapat tidak bapanya (iblis) itu akan mengunjungi anaknya dalam
rumahnya iaitu hatimu, dan tiada memberi bekas masuknya melainkan binasa.

Keterangan Suluk
Bila berpaling atau cenderung hati kepada dunia maka seseorang itu telah lalai dari
mengingati kepada Allah. Di saat bila wajah dunia ini (dalam erti kata apa sahaja
selain daripada Allah) tertangkap dalam hati maka iblis yang sentiasa menanti-nanti
peluang akan berjaya memasuki hati seterusnya menggoda dengan berbagai-bagai
muslihat yang licik (nampak baik tetapi jahat). Apabila iblis menguasai, maka
kesannya ialah memberi kebinasaan pada hati itu dengan menyuntik berbagai-bagai

penyakit hati yang sentiasa berjangkit daripada suatu keinginan kepada keinginan
yang menjauhkan hamba dari Allah.

Berkata Pengarang Kitab Hikam
Dan cerita daripada setengah sahabat RA. katanya telah kami ikut akan sekelian amal
(yang dibuat oleh Rasul) maka tiada dilihat dalam dunia dan dalam akhirat yang
terlebih baik daripada zahid dalam dunia.
Dan kata Sayyidi Abu Sulaiman Ad-Daroni RA. telah bertanya aku kepada Sayyidi
Syekh Ma'aruf Al-Kharki daripada segala taat bagi Allah Taala dengan apa suatu yang
dikira-kirakan mereka itu atas taatnya. Maka katanya dengan mengeluarkan dunia
daripada hati mereka itu dan jikalau ada sesuatu daripada dunia dalam hati mereka
itu maka tiadalah sah sujud bagi mereka itu.

Adalah demikian itu (buang dunia dalam hati) tiada dikata dengan mengeluarkan
dunia daripada tangan mereka (harta yang mereka ada) itu kerana bahawasanya telah
ada dunia (harta dan kebesaran) itu dalam tangan setengah orang yang telah suci
hatinya seperti Nabi Daud dan Zulkarnain dan setengah sahabat dan yang tabie.
Dan tiada berpaling (suka/cenderung) mereka itu (yang suci hati) daripada dunia;
maka iaitu (zhohirnya nampak ada) dalam tangannya jua tiada dalam hati mereka itu
dan alamatnya demikian itu bahawa tiada suka dengan wujudnya (dunia) dan tiada
duka kerana ketiadaannya.

Keterangan Suluk.
Di sinilah diterangkan kekeliruan dan kejahilan manusia tentang hakikat zahid ini.
Mereka menganggap bahawa untuk zuhud itu mereka perlu membuang semua harta
benda dan kedudukan yang mereka ada. Fahaman ini adalah salah dan sesat kerana
tempat yang perlu dizahidkan ialah di hati. Kurnia Allah harta atau kedudukan yang

tinggi tidak perlu dibuang; cuma membuangnya dari kehendak dan cinta hati
kepadanya.

Dalam hal ini Imam Ghazali melalui kitabnnya Minhajul Abdidin menegaskan:
"Banyak orang yang meninggalkan dunia pada lahirnya, padahal dalam hatinya
sangat berkeinginan dan cinta pada dunia, malah hatinya tenggelam dalam
pergelutan dan penderitaan yang sangat payah. Sedangkan soal zuhud terletak
seluruhnya pada meniadakan keinginan dalam hati (tidak tergila-gila dan mabuk
dengan dunia)".

Berkata Pengarang Kitab Hikam
Maka sesungguhnya zahid itu terlebih meliputi (umum) daripada wara' kerana
bahawasanya wara' lagi (masih ada) tinggal (kehendak hati) setengahnya (kepada
dunia) dan zahid itu putuslah sekeliannnya iaitu :
Zahid kepada orang yang Ahli Tahqiq kerana orang yang Ahli Tahqiq telah berpaling
ia kepada (kecintaan kepada)Haq Taala.
Zahid kepada Ahli Thoriq ialah berpaling daripada yang digemari daripada suatu
(keinginan duniawi) kepada barang (amal/ibadat) yang terlebih baik
(kholis)daripadanya.

Zahid kepada orang yang Ahli Syarak ialah wajib zahid dalam segala yang haram dan
sunat zahid dalam segala yang mubah (harus).

Keterangan Suluk
Teramat jauh bezanya orang yang mahir berkata-kata tentang zahid dengan orang
yang zuhud adalah sifat hatinya. Dan tidaklah bersifat zuhud hati itu melainkan
setelah mengenal (Arif) hati itu pada/tentang bahayanya dunia.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah
yang Maha Mengetahui dan Maha Besar

No comments: