Friday, August 27, 2010

Syahwat Yang Tersembunyi

Kata Sheikh R.A yang bermaksud :

Berkehendak engkau akan tajrid

padahal mendirikan Allah akan dikau pada segala asbab

adalah setengah daripada syahwat yang tersembunyi.

Barangsiapa yang telah ditentukan oleh Allah hidup dalam keadaan membina dan mencorak kehidupan mereka dengan cara berusaha dan bekerja tetapi bercita-cita ia mahu keluar daripada jalan usaha atau asbab ini dengan tujuan untuk semata-mata beribadat secara khususiah kepada Allah tanpa memikirkan tentang kehidupan dunianya, maka yang demikian itu adalah timbul dari nafsu keinginan jahat yang tersembunyi. Hanyasanya adalah ia daripada syahwat kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa itulah ketetapan Allah yang dikehendakiNya. sedangkan kehendak hamba itu menyalahi yang demikian itu.

Terjemahannnya oleh Tok Pulau Manis

Hanyasanya adalah syahwat itu tersembunyi kerana bahawasanya pada zahirnya menampakkan seakan hamba itu bercita-cita untuk keluar daripada nafsu. Dan sememangnya hal yang demikian itu adalah dituntut dan dikehendaki oleh Allah Taala. Tetapi satu hal yang perlu dingat ialah sesuatu kehendak atau cita-cita besar itu, hendaklah berlandaskan dengan keredhaan Allah bukannya daripada keredhaan nafsu.

Sesungguhnya apa yang diredhoi oleh Allah Taala akan dirimu ialah berdiam(tetap) pada apa yang telah didirikan Allah atas engkau, sama ada pada makam asbab ( golongan yang bekerja dan beribadat ) atau makam tajrid ( semata-mata beribadat kepada Allah tanpa memikirkan usaha dan tanggungjawab kepada ahli keluarga ).

Kata Muallif ( pengarang ) Kitab Tanwir Qulub, bermula yang dikehendaki hak Allah Taala akan dikau ialah bahawa diam ( tetap dalam sesuatu hal ) kepada yang telah didirikan Allah akan dikau, hinggalah ke satu masa di mana Allah memerintahkan keluar engkau ke satu hal atau maqam yang lain.

Dan kata Sheikh Hijazi bermula Iradat ( kehendak ) itu tiga perkara iaitu;

Iradat Al-Tob'i iaitu kehendak yang takluk dengan kepada bahagian nafsu. Dan keluar daripadanya adalah WAJIB. Bahagian nafsu ini ialah seperti kehendak kepada kemasyhuran, pangkat, kedudukan atau berlazat-lazat pada makanan dan pakaian serta lain-lain lagi.

Iradat Al-Tamni iaitu kehendak bagi segala Ahli Tawajuh ( yang selalu berhadap hati kepada Allah ) yang Salik ( mereka yang dalam permulaan perjalanan menuju kepada Allah ). Mereka ini hanya berkehendakkan kepada kurnia Allah semata-mata.

Iradat Al-Haq iaitu kehendak yang takluk pada keikhlasan hakikatnya ia-itu untok menyucikan amalan yang mereka kasihi daripada syirik Jali ( nyata ) dan syirik khofi ( tersembunyi ).

Maka syirik khofi itu ialah seperti bahawa engkau jadikan kehendak bagimu itu serta Allah atau engkau lihat bagimu wujud (kita ada, Allah ada = dua wujud ). Maka apabila telah ikhlas engkau daripada penyakit lalai itu dan telah Allah hapuskan hukum maksiat pada sekalian itu maka jadilah engkau serta Allah tiada dengan kun ( terhijab dengan alam benda ).

Sesungguhnya menetapkan Allah akan dikau dalam segala asbab. Dan berkehendak engkau tajrid menunjukkan masih lagi tinggal syahwat dan nafsu yang tersembunyi. Tiada dinyatakan (diketahui) di atas seseorang hamba melainkan kepada segala orang yang Ahli 'Inayah kerana bahawasnya syahwat itu tiada jadi ia melainkan daripada nafsu sama ada yang bangsa (bersifat) dunia atau bangsa (bersifat) akhirat.

Semoga Allah memberi kita semua petunjuk dan hidayahnya. Amin

TIADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN BANTUAN ALLAH

DAN KURNIA RAHMATNYA

No comments: