Friday, August 27, 2010

MAKRIFAT, FANA, MAHABBAH

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari

Barangsiapa mengenal akan Haq Allah Taala,

nescaya dipandangnya Allah dalam tiap-tiap sesuatu

Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis

Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah. Maka tidaklah jinak ia pada suatu dan tiadalah liar ia daripada sesuatu kerana telah FANA ia dengan Allah dan jauh daripada tiap-tiap sesuatu selain yang lain daripada Allah.

Keterangan Suluk

Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah.

Mengenal akan haq Allah Taala seperti yang tercatat pada Matan di atas dimaksudkan kepada orang-orang yang mempunyai Makrifat. Antara makna Makrifat ialah boleh membezakan di antara yang Yang Haq dan yang Batil. Jadi seseorang yang diangerahkan Allah Taala dengan Nur MakrifatNya akan melihat segala sesuatu yang ada pada dirinya dan sekelilingnya sebagai Tajalli atau penzhohiran pentadbiran (Tauhid Rububiyah) dan Keesaan (Tauhid Uluhiyah) Allah.

Pandangannya pada sesuatu manifestasi menembusi kepada apa yang tersembunyi atau tersirat. Bukan sekadar menilik kepada apa yang zahir dan tersurat sahaja malah jiwa dan batinnya sentiasa tersyuhud kepada memandang akan perbuatan Allah (Af'aal Allah) dengan makna semua yang berlaku pada dirinya dan sekelilingnya adalah dengan Kehendak dan Kekuasaan Allah, tanpa sedikitnya campur tangan dirinya ,manusia atau makhluk Allah.

Jiwa dan ruhnya sentiasa menghadap kepada Alam Malakut yang memperihalkan hikmat dan makna-makna sebenar apa yang berlaku di Alam Syuhadah ini. Malah kadang-kadang melewati Alam Jabarut dan Alam Laahut di mana dikenalnya akan sesuatu itu sebagai cermin untuk melihat Kamalat TuhanNya (Kesempurnaan Zat Allah).

Maka tidaklah jinak ia pada suatu dan tiadalah liar ia daripada sesuatu kerana telah FANA ia dengan Allah dan jauh daripada tiap-tiap sesuatu selain yang lain daripada Allah.

Nikmat dan bala/musibah adalah sama di sisi orang yang Muwahid (orang yang mentauhidkan Allah) ini. Bila mendapat sesuatu nikmat seperti harta yang melimpah atau mampu melakukan ibadat yang banyak dengan mudah, hatinya tidak jinak (cenderung) atau suka kepada nikmat itu. Biasanya seseorang yang kaya dengan harta, ilmu atau amalan akan senang hati dan melihat itu adalah kerana usaha dan kebijaksanaanya. Mereka akan suka dan berlapang dada dengan nikmat-nikmat ini. Tetapi orang yang kenal dengan Allah ini bukan senang atau berlapang dada dengan nikmat-nikmat itu sebaliknya mereka tetap teguh memandang bahawa itu adalah penzhohiran Allah tanpa sedikitpun memandang kepada usahanya atau bersenang hati dengannya.

Demikian juga apabila ditimpa bala atau musibah seperti sakit, susah atau miskin. Hatinya tidak akan liar atau benci kepada kesakitan, kesusahan dan kemiskinan itu. Tiada keluhan, tiada pengaduan kepada manusia malah beliau akan menerimanya sama sahaja seperti kedatangan nikmat-nikmat seperti di atas. Memandang itu adalah qada yang ditetapkan padanya dari azali lagi. Ini adalah kerana mereka telah tenggelam (fana) dalam lautan keesaan (Tauhid) di mana segala sesuatu selain daripada Allah itu akan hancur dan lebur bila dihadapkan kepada Keagungan dan Keesaan Allah.

Mereka ini jauh sekali terpedaya dan tertipu dengan rupa yang zahir kerana mereka kenal akan rupa batin tiap-tiap sesuatu itu. Inilah antara sifat-sifat orang yang kenal dengan Allah.

Dan barangsiapa telah fana dengan Allah,

nescaya ghaiblah ia daripada tiap-tiap sesuatu

Pengertiannya

Dan barangsiapa telah fana ia dengan Allah nescaya ghaiblah (tidak pandang selain daripada Allah) ia daripada tiap-tiap sesuatu. Maka tiada melihat ia akan maujud yang lainnya dan tiada yang mengadakan, melainkan Allah. Maka apabila telah memfanakan ia (Allah) akan engkau daripada engkau [iaitu diri sendiri telah hilang atau fana], maka mengekalkan ia (Allah) akan engkau denganNya (Baqa bilLah).

Dan barangsiapa telah sodiq (benar) fananya, nescaya sodiqlah baqanya dan barangsiapa ada pada Allah binasanya (tenaga, masa dan wang yang digunakan untuk

ibadat), nescaya atas Allah gantinya.

Keterangan Suluk

Di dalam Kitab ArRisalah al-Qusyairiah disebutkan erti fana itu ialah :

"Lenyapnya sifat-sifat basyariah (pancaindera)"

"Maka sesiapa yang telah diliputi Hakikat Ketuhanan sehingga tiada lagi melihat daripada Alam baharu, Alam rupa dan Alam wujud ini, maka dikatakanlah ia telah fana dari Alam Cipta.

Fana bererti hilangnya sifat-sifat buruk (maksiat lahir dan maksiat batin) dan kekalnya sifat-sifat terpuji (mahmudah). Bahawa fana itu ialah lenyapnya segala-galanya, lenyap af'alnya/perbuatannya (fana fil af'al), lenyap sifatnya (fana fis-sifat), lenyap dirinya (fana fiz-Zat)".

Keadaan orang yang fana ini boleh dilihat dari penerangan Abu Yazid Al-Busthomi: “Apabila Allah memfanakan saya dan membawa saya baqa denganNya dan membuka hijab yang mendinding saya dengan Dia, maka saya pun dapat memandangNya dan ketika itu hancur leburlah pancainderaku dan tidak dapat berkata apa-apa. Hijab diriku tersingkap dan saya berada di keadaan itu beberapa lama tanpa pertolongan sebarang panca indera. Kemudian Allah kurniakan saya mata Ketuhanan dan telinga Ketuhanan dan saya dapat dapati segala-galanya adalah di dalam Dia juga."

Orang yang sentiasa melihat dan memandang perbuatan Allah akan dianugerahkan fana sebagai peningkatan maqam kepadanya.

Dan barangsiapa kasih akan Allah,

nescaya tiada melebihkan sesuatu yang lain

Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis

Dan barangsiapa mengasih akan Allah, nescaya tiada melebihkan (mengutamakan) atas Allah suatu daripada segala kehendak dan segala syahwatnya (keinginannya).

Keterangan Suluk

Sheikh Junaid Al-Bagdadi pernah berkata tentang fana dan mahabbah ini dengan kata-katanya;

"Seorang itu tidak akan mencapai Cinta kepada Allah (mahabbah) hingga dia memfanakan dirinya. Percakapan orang-orang yang cinta kepada Allah itu pandangan

orang-orang biasa adalah dongeng sahaja."

Jadi setelah melalui Makrifat (Kenal Allah), dan seterusnya Fana barulah seseorang itu boleh memanjat kepada Maqam yang tertinggi di dalam perjalanannya menuju kepada Allah.

Tanda atau sifat-sifat orang yang kasih kepada Allah ini ialah mereka akan sentiasa mengutamakan keredhoan Allah melebihi kehendak dirinya dan manusia lain. Biasanya orang yang telah mengalami FANA akan mampu berbuat begini kerana mereka telah terlepas daripada runtunan hawa nafsu dan rantai syahwat.

Contoh orang yang mahabbah ini ialah apabila berdempak (bertembung) dua perkara/pilihan yang wajib dalam satu masa maka akan ditilik manakah yang lebih disukainnya. Maka akan dipilih apa yang tidak sukainya dengan meninggalkan apa yang disukai. Ini adalah kerana biasanya yang disukai itu datangnya dari kehendak nafsunya.

Contoh orang yang berjaya mencapai maqam Mahabbah ini ialah Wali Allah Rabiatul Adawiyyah yang hidup sezaman dengan Abu Hassan Al-Basri.

Dan inilah (kenal Allah, Fana, Mahabbah) yang telah disebutkan oleh pengarang sebagai alamat sampai kepada segala Maqam yang tinggi dan dengannya akan Sah dan sempurna Haq Ubudiyah dan Haq Uluhiyah (Ketuhanan).

Maka barangsiapa tiada mendapat akan dia (kenal Allah, Fana, Mahabbah) maka sebaiknya JANGAN mendakwa (mengaku) segala Maqaamat itu dan hendaklah mengamalkan ia atas mujahadah dirinya pada barang yang mengesahkan akan dia (kenal Allah, Fana, Mahabbah)dan menyempurnakan dia (kenal Allah, Fana, Mahabbah)

Ulasan Suluk

Antara makna Tasauf ialah meninggalkan dakwa. Untuk itu bagi kita orang-orang yang masih bertatih dan merangkak dengan ilmu ini janganlah mengaku dan mendakwa bahawa kita mengamalkan ilmu tasauf apatah lagi mendakwa kita telah berada di dalam maqam-maqam yang tertentu sebelum mahir dan arif dengan ilmu ini serta beramal dengan adab-adabnya. Banyaklah melakukan riadah dan mujahadah jiwa melalui memperbanyakkan belajar ilmu agama, amalan-amalan sunat dan membuat kebajikan.kepada yang memerlukan. Betulkan hala tuju kita yang semata-mata untuk melaksanakan Haq Kehambaan seperti yang dituntut di atas kehidupan kita yang sementara ini.

Ingatlah akan pesanan seorang Wali Qutub Ibnu Madyan yang pernah berkata :

"Barangsiapa tahqiq dengan Maqam Ubudiyah akan dapat melihat bahawa menilik akan amal itu Riya' menilik halnya itu ain dakwa dan menilik perkataannya itu ain dusta."

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah

Yang

Maha Mengetahui

Dan

Maha Besar

No comments: