Friday, August 27, 2010

Mengenal Erti Sahabat Sejati

Pengertian Kalam Hikmat Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari :

Jangan engkau bersahabat dengan orang yang tiada mendirikan akan dikau halnya dan tiada menunjuk akan dikau atas Allah perkataannya; dan bersahabat engkau dengan orang yang ada ia dengan lawannya demikian itu; iaitu orang yang tiada mengetahui ia melainkan Tuhannya dan tiada menunjuk ia melainkan atas suatu yang ubudiyah.

Keterangan Dari Suluk

Seorang hamba Allah yang tujuan hatinya untuk sampai kepada Allah(Salik) di-dalam menjalani kehidupan dunianya ditegah dan dilarang untuk berkawan atau bersahabat dengan golongan manusia yang hal/peribadi dan kelakuannya tidak banyak membantu dalam perjalanan si Salik menuju kepada Yang Haq.

Demikian jugalah dilarang sama sekali bersahabat dengan golongan yang percakapannya semata-mata untuk kepentingan dunia tanpa ada pengajaran dan iktibar yang boleh mendekatkan si Salik kepada akhirat atau Allah.

Dua golongan manusia ini adalah kebanyakan manusia(awam) atau orang alim yang ahli dunia. Tindak-tanduk dan perkataannya hanya berkisar kepada kesenangan, kemewahan, keangkuhan atau sekurang-kurangnya cenderung kepada yang lalai dan jauh daripada beribadat dan mengingati Allah.

Sebaliknya si Salik itu hendaklah berkawan, bergaul, berurusan dan bersahabat dengan mereka yang sibuk dalam mengesahkan dan menyempurnakan amal ibadatnya mengikut yang disyariatkan oleh Allah Taala. Mereka ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan memperelokkan syariatnya dengan cara menuntut ilmu atau mengajar ilmu akhirat, beramal beribadat, meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan lalai.

Hati mereka selalu memperhitungkan keredaan Allah dalam setiap urusan dan tindak-tanduknya. Dari kejernihan hati ini terpancarlah pada peribadi dan kelakuannya sifat-sifat yang mulia dan ikhlas yang akan melimpahkan kesannya kepada sesiapa yang mendampinginya dengan hakikat dan kediaman ubudiyah. Pengucapan dan ideanya akan menjadi petunjuk dan pembimbing kepada sesiapa yang hampir dengannya. Manusia beginilah yang mesti dipilih sebarang seorang sahabat.

Berkata lagi Muallif Kitab Hikam

Adalah hemahnya takluk kepada Allah Taala terangkat daripada segala makhluk tiada minta tolong dalam segala hajatnya melainkan kepada Allah Taala dan tiada tawakkal dalam segala pekerjaan melainkan atas Allah Taala dan sesungguhnya telah gugurlah manusia daripada matanya.

Maka tiada memandang ia baginya perbuatan dan tiada menghendaki ia bahagian nafsunya dan adalah dalam segala amalnya berlaku atas yang dikehendaki syarak daripada tiada taksir dan inilah sifat orang yang Arif dan orang yang Muwahid.

Keterangan Dari Suluk

Diperjelaskan lagi ciri-ciri seorang sahabat yang diperlukan oleh seorang Salik di mana dengannya dapat dikenal sifat-sifat dan jiwa seorang Arif-Billah(iaitu mereka yang kenal dengan sebenar-benar kenal dengan Allah) yang juga seorang yang Muwahid yakni orang yang Mentauhidkan Allah dalam AfaalNya , AsmaNya, SifatNya dan ZatNya. Hemah atau azam serta semangatnya hanya tertuju kepada Allah semata-mata.

Padanya semua makhluk adalah lemah dan dhoif walaupun ianya seorang berpangkat, berkuasa waima presiden atau raja. Mereka tidak pernah merayu, mengadu dan meminta pertolongan untuk sebarang hajatnya kepada sesiapa kerana telah diketahui dan dikenal bahawa manusia ini semuanya ditadbir oleh Allah. Tiada

mampu memberi sebarang kesan. Mereka semua adalah sama sepertinya bersifat dengan lemah, fakir, dhoif, hina malah tidak wujud sama sekali sebarang kesan perbuatan mereka kepada penghidupan ini. Sebab itulah orang Arif ini hanya menyerahkan segala urusannya secara bertawakkal kepada Allah dengan tidak memandang kepada amal, usaha, tadbir dan ikhtiarnya. Segala perbuatan dan perkataannya bukanlah didorongkan oleh nafsu syahwat dan keinginan keduniaan.

Tindak tanduknya berlandaskan ilmu syariat Allah yang yakin tanpa campur tangan fikirannya. Dengan itu mereka tidak pernah taksir walau dalam apa jua keadaan. Ini adalah kerana mereka sentiasa berada pada kediaman Ubudiyah disamping hati dan jiwanya mereka sentiasa tenggelam dalam lautan musyahadah dengan Allah dan Allah sentiasa memperelokkan adab syariatnya, thorikatnya dan hakikatnya.

Inilah petunjuk, inilah ciri-ciri dan inilah sifat-sifat yang perlu dilihat oleh si Muslim dalam mencari dan memilih seorang Sahabat. Bukannya yang semata-mata kaya, berpengaruh tetapi jahil dengan Makrifatullah. Jahil tentang Hak Ubudiyah dan Hak Ketuhanan.

Berkata Sayyidi Abdul Salam RA.

Barangsiapa menunjuk ia akan dikau atas dunia[hal keperluan duniawi semata-mata], maka sesunguhnya adalah ia memberi kejahatan akan dikau; dan barangsiapa menunjuk akan dikau atas amal (ibadat untuk akhirat dan sampai kepada Allah) maka sanya itu adalah anugerah kebajikan yang Allah berikan kepada engkau; dan barangsiapa yang menunjuk akan dikau atas Allah (ilmu-ilmu yang menghampirkan faham kepada makrifat dengan Allah) maka adalah ia memberi nasihat kepada engkau.

Keterangan Suluk.

Perhatikan hal sahabat kita. Sekiranya tindak-tanduk serta cita-citanya semata-mata keduniaan maka larilah daripada sahabat yang ahli dunia itu kerana bersahabat dengannya akan menjatuhkan berbagai-bagai musibah dan kesusahan kepadamu (dalam erti kata payah untuk memasuki perjalanan menuju kepada Allah).

Untuk senang dunia dan menumpang kebolehan, kedudukan, atau kekayaan mereka tentu sahaja boleh; dan jika engkau senang bersahabat dengan mereka yang lalai dengan perihal untuk memajukan diri dalam bidang keruhanian, percayalah engkau adalah sama seperti mereka yang tertambat dengan "Hubb-ud-Dunia" (kasih pada dunia hingga lalai kepada akhirat).

Ketahuilah, sekiranya Allah ingin menganugerahkan kebajikan yang "melimpah" kepada engkau maka akan ditemukan engkau dengan seorang sahabat yang "fakeh lagi sufiah"(yang alim dengan ilmu syariat dan mengamalkan ilmu mengikut thoriq yang menjejaki hakikat). Sahabatmu ini sentiasa sudi berkongsikan amal dan ilmunya dengan petunjuk-petunjuk yang benar dan jelas. Syariatnya teguh dan mantap dengan ilmu fekah, Thorik Rasulullah, para sahabat, para Aulia, dan Sholihan yang menjadi ikutannya manakala hakikatnya sentiasa memandang(tersyuhud) pada Keagungan dan Keesaan Allah. Dengan sahabat ini nanti, kamu akan banyak mendapat nasihat dan petunjuk yang lurus.

Kata Abu Hassan RA

Jangan engkau bersahabat dengan orang yang melebihkan akan dikau atasmu. Maka yang demikian itu terlebih sangat jahat dan jangan engkau bersahabat seorang yang melebihkan dikau atas dirinya. Maka yang demikian itu sedikitlah berkekalan dan bersahabatlah engkau dengan orang yang sebabnya menerangkan hati engkau dan musyahadahnya membuka segala yang ghaib.

Keterangan Suluk.

Orang yang suka melebihkan dirinya daripada kamu adalah manusia yang dibungkus dengan sifat-sifat ego dan hipokrit. Mereka amat membahayakan hati dan jiwa kamu. Demikian jugalah sseorang kenalan orang yang merendahkan dirinya dengan keterlaluan adalah manusia yang tidak ikhlas dan suka mengada-ngada. Jarang sekali hubungan anda kekal dengannya kerana sifat rendah dirinya itu adalah semata-mata dibuat-buat dan diada-adakan bukan kerana tawaduk kepada Allah. Akan sampai masanya beliau akan jemu atau memberontak apabila sesuatu yang tersirat di hatinya tidak diperolehi dari engkau. Memang menjadi hukum alam sesuatu yang tidak haq/ikhlas akan hancur bila tiba waktunya.

Sahabat yang perlu dicari ialah apabila bertemu dan berbicara dengannya cahaya mata hatimu akan sejuk bercahaya dengan cahaya akhirat dan makrifat. Pengucapannya adalah butir-butir pengajaran yang luar biasa, berhikmat serta menjejaki dasar syraiat, thoriqat dan hakikat malah ianya berbeza dari yang lain kerana ia mengeluarkan dari sesuatu yang dilihat dan diambil dari alam ghaib yang hanya dapat ditembusi oleh hati yang bersih dan bermakrifat.

Dan kata Syeikh Junaid Al-Bagdadi RA

Apabila dikehendaki oleh Allah pada seorang murid itu kebajikan(baik halnya) maka dijatuhkan bersahabat dengan seorang Sufiah dan ditegahkan bersahabat dengan segala orang yang riya.{buat sesuatu bukan kerana Allah tetapi untuk diri dan nafsunya)

Keterangan Suluk.

Perhatikanlah sahabat yang ada di sekeliling anda. Perhatikan pula kata-kata berhikmat Penghulu Tasauf di atas. Anda akan dapat menilai diri anda. Adakah anda dalam kebajikan Allah atau sebaliknya ?. Lihatlah peribadi dan arah tuju sahabat anda. Di situ ada jawapannya. Di situ terlorong jalan antara jalan-jalan kebajikan yang ada. Bersyukurlah sekiranya anda ditemukan dengan seorang sahabat yang hal-ahwalnya membimbing dan menunjukimu ke arah jalan Allah kerana engkau telah dikurniakan kebajikan yang tidak terhingga.

Kata setengah orang Sufiah

Jangan engkau bersahabat daripada manusia melainkan dengan orang yang tidak bertambah kepadanya dengan kebajikan(mu) dan tiada kurang daripadanya dengan kejahatan(mu) supaya ada demikian itu bagimu dan engkau disisinya bersamaan.

Keterangan Suluk.

Sahabat yang ingin diperihalkan oleh orang sufiah ini adalah seorang mukmin Sholeh yang padanya kebaikan dan kejahatan yang ada pada kita sama sekali tidak mempengaruhinya, malah sama sahaja baginya. Jika nampak ciri-ciri kebaikan yang ada pada kita, dipandangnya sebagai anugerah Allah kepada hambanya dan jika kita membuat sesuatu kesalahan atau dosa, maka dilihatnya sebagai satu iktibar kepadanya.{Pandangannya hanya terarah kepada Fi'li Allah}. Kasih sayangnya tetap bersamaan walaupun kita bersifat baik atau melakukan banyak kesalahan. Sifat inilah yang akan mendidikmu untuk menjadi sepertinya {Ada nur yang menumpahkan cahayanya kepada kita}. Inilah sahabat yang sejati dari golongan mereka yang diberikan cahaya makrifat yang hanya memandang sesuatu itu dari Allah, dengan Allah, kepada Allah dan kerana Allah.

Dan kata Abu Tholib Al-Makki RA

Adalah segala Thoifah( kaum) daripada orang-orang Sufiah itu tiada mengasih(bersahabat) mereka itu melainkan atas orang (yang ada) empat perkara iaitu:

Tiada memberat setengahnya atas setengahnya (sama tengah) iaitu; jikalau memakan sahabatnya sepanjang siang maka tiada berkata sahabat itu kepadanya 'puasalah engkau'. Dan; jikalau puasa sahabat ia sepanjang masa maka tiada berkata sahabat itu kepadanya 'berbukalah engkau'.

Dan jikalau tidur sepanjang malam maka tiada berkata sahabat itu baginya 'berjagalah engkau'. Dan; jikalau sembahyang sepanjang malam maka tiada berkata sahabat itu 'tidurlah engkau akan setengahnya'(malam).

Dan bersamaan segala ahwal(hal atau fiil/kelakuan) sahabat itu kepadanya.

Tiada bertambah kerana puasanya dan sembahyangnya dan tiada kurang kerana berbukanya dan tidurnya

Dan berkata mereka itu lagi;

Apabila bertambah kepadanya sebab amal(yang engkau kerjakan) dan kurang sebab (engkau) meninggalkan amal; maka bercerai(berpisah dengan mereka itu) itu terlebih memberi sejahtera bagi agamanya.(engkau). Dan inilah kebajikan yang berhimpun dalam bersahabat dengan saudara yang Sholeh dan Syeikh(Guru) yang memberi nasihat dan menegahkan akan dikau bersahabat dengan segala orang yang jahat dan segala orang yang ahli ghoflah(lalai) iaitu mereka yang terlebih jahat hal daripadamu.

Keterangan Suluk.

Sahabat itu ialah seorang yang menunjuki bukan seorang yang meneliti hal engkau. Carilah seorang sahabat yang peribadinya dan ilmunya lebih baik darimu yang faham tentang :

hakikat syariat

hakikat thoriqat dan

hakikat makrifat; dan

Larilah dari kawan :

yang jahil(tiada makrifat)

jahil tentang makrifat syariat;

jahil tentang makrifat thoriqat dan;

jahil tentang makrifat hakikat;

yang menjadikan nafsu sebagai ikutannya dan cara hidupnya.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah

Yang

Maha Mengetahui dan Maha Besar

No comments: