Friday, August 27, 2010

Hukum Waktu

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari Dengan Kalam Hikmahnya :

Jangan kamu menanti-nanti akan selesai daripada Agyar, maka bahawasanya demikian itu memutuskan engkau daripada wujud Muroqobah ( menilik-nilik hak Allah) baginya pada yang didirikan engkau di dalamnya.

Nota: Maksud agyar ialah halangan-halangan atau perintang-perintang yang menegah kita daripada melakukan taat, amal ibadat lahir dan batin. )

Pengertian dan Huraiannya oleh Tok Pulau Manis :

Jangan kamu menanti-nanti (menunda-nunda) dalam mengerjakan amal (taat zahir dan batin) itu selesai daripada Agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat.

Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan (masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua. Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya.

Keterangan Suluk

A. ..Jangan kamu menanti-nanti dalam mengerjakan amal akan selesai daripada agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau.

Maksud agyar ialah halangan-halangan atau perintang-perintang yang menegah kita daripada melakukan taat, amal ibadat lahir dan batin. Halangan-halangan itu ialah seperti kesibukan kita dalam menguruskan kerja dan tugas harian kita sama ada di tempat-tempat kerja atau di kalangan ahli keluarga kita.

Sesungguhnya kesibukan itu akan sentiasa ada selama waktu kita di dunia ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditimpa musibah seperti sakit, keuzuran yang berpanjangan atau pendapatan yang kurang (miskin) untuk menampung keperluan ahli keluarga yang besar. Sebenarnya kesibukan tugas, bala musibah atau kesusahan yang kita alami itu...adalah mengikut kehendak Allah yang Maha Berkuasa.

Kita telah ditentukan dalam maqam asbab (golongan yang mesti berusaha) yang menghendaki kita supaya penat dan lelah berusaha dalam meneruskan kehidupan. Tetapi kesibukan dan kesusahan kita dengan tugas dan kewajipan dunia itu...janganlah dijadikan alasan untuk kita tidak melakukan amal ibadat (zahir dan bathin). Pengabaian kita untuk melakukan taat dan amal dalam keadaan ini adalah sesuatu yang ditegah dan dilarang.

B.... dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat.

Seorang yang sibuk dengan kerja akan mengatakan 'tunggulah sehingga pekerjaan saya beres nanti' atau 'tunggulah apabila saya pencen nanti' atau seorang pelajar yang sedang mengejar cita-citanya akan membisikkan "nantilah apabila cita-citaku ini tercapai" atau seorang yang punya anak ramai akan berkata 'tunggulah bila anak-anak sudah besar nanti' akan saya buat banyak-banyak amal dan ibadat nanti. Ini adalah contoh-contoh mereka yang suka menunda ke suatu waktu yang lain untuk beribadat pada Allah.

Fahaman dan pandangan ini adalah salah, dan di anggap 'kurang ajar" kerana seorang "hamba” yang taat dan patuh tidak akan punya alasan untuk berhujuh dengan "tuannya" tentang tugasan yang diarahkan oleh "tuannya".

Bahkan kita dikehendaki melaksanakan setiap amalan dan ibadat setiap masa dan ketika mengikut hukum-hukumnya. Lebih-lebih lagi amalan yang fardu serta yang Sunat Mu'akad (yang sangat-sangat dituntut). Setiap solat fardu yang difardukan wajib-lah dikerjakan segera mengikut kadar waktunya, begitu juga dengan puasa, zakat dan ibadat haji serta ibadat-ibadat lainnya.

Demikian juga dengan amalan batin yang bersifat keruhanian. Kita juga dituntut untuk melaksanakan hak-hak hukum waktu yang menjadi kemestian sebagai seorang hamba dalam Ubudiyahnya.

Antara hak-hak hukum waktu yang perlu dilaksanakan ialah:

Waktu Taat wajib kita pandang amalan ibadat yang mampu dilakukan itu adalah kurnia dari Allah.

  • Waktu Nikmat wajib kita sukur pada anugerah Allah
  • Waktu Bala wajib kita bersabar dengan ujian dan Qodanya.
  • Waktu Maksiat wajib kita segera bertaubat

Ini menunjukkan bahawa dalam setiap saat kita tidak bisa lari dari salah satu daripada tuntutan hukum waktu tersebut. Bukan semestinya dalam waktu kita senang atau sihat sahaja.

C. ...Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan (masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua.

Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya. Sekiranya kita menunda waktu solat zohor hari ini kepada zohor esok hari, maka waktu zohor hari ini telah luput dan tidak akan dapat diganti lagi.

Begitu juga apabila kita melakukan maksiat (zahir batin)...hukum pada waktu tersebut meminta supaya kita bertaubat. Melengahkan waktu bertaubat dan meninggalkan solat zohor tadi telah meluputkan hak muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang pertama.

Maka apabila kita menilik-nilik untuk mengabaikan sesuatu kewajiban pada waktu itu, dengan sendirinya telah hilanglah hukumnya dan telah lalailah kita daripada melaksanakan hak hukum waktu tersebut.

Ini adalah salah satu bentuk kelalaian dan penderhakaan kepada Allah yang jarang dapat ditanggapi oleh kebanyakan manusia.

Bayangkan lah jika menundakan saat pertama kepada saat kedua sudah dianggap salah dan berdosa....apa pula jika menunda-nunda dari ….

waktu muda kepada waktu tua

waktu sibuk kepada waktu senang

waktu uzur kepada waktu sihat

waktu susah kepada waktu kaya

waktu usaha kepada tercapai cita-cita dunia

..tentulah bertimbun-timbun dosa dan kesalahan kita dalam menjaga dan memelihara hak hukum waktu ini.

Dari kerana itulah...

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis

Maka lazimkanlah (WAJIB) atasmu mendirikan(melaksanakan) HAK WAKTU dan jangan kamu kata esok...esok..kerana yang demikian itu membinasakan(umurmu). Hendaklah engkau tuntut itu dengan muroqobah waktu (menilik-nilik hak Allah) yang engkau di dalamnya dan jangan engkau menanti-nanti bagi waktu lainnya. Maka janganlah engkau menanti-nanti untuk selesaikannya pada waktu lain kerana tiada terangkat hukumnya (akan sentiasa dituntut setiap waktu).

Tiadalah berkesudahan istighal(kebimbangan/kesusahan) dunia ini seperti kata setengah daripada kaum sufiah dengan katanya:

"Maka tiadalah lepas seseorang daripada dunia ini akan hajatnya dan tiadalah berkesudahan maksud melainkan kepada suatu maksud yang lain".

Kata Abu Hafzin RA :

"Bermula fakir yang shodiq (fakir yang benar dengan fakirnya) adalah ia dalam setiap waktu dengan hukumnya. (ibadat dan redho dengan Allah). Maka apabila datang ke atasnya sesuatu yang membimbangkan dia (terhalang untuk ibadat kepada Allah) maka liarlah (lari) ia daripadanya dan dinafikanya (ditolakkannya)".

Berkata Sahl bin Abdullah RA. :

“Apabila malam.... maka jangan engkau mengira-gira (menanti-nanti) akan siang hingga engkau sempurnakan hak Allah Taala dalamnya dan demikan pulalah apabila siang hari".

Ditanyai orang akan Sahl bin Abdullah RA.: Di waktu mana beroleh istirehat seorang fakir itu?. Beliau menjawab dengan katanya: "Apabila tiada dilihatnya yang lain daripada waktu yang ia dalamnya". Maksudnya seorang fakir tidak ada waktu istirahatnya kerana setiap waktu itu beliau sentiasa berada dalam tuntutan hak Allah (hak hukum waktu).

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah

yang Maha Mengetahui dan Maha Besar

No comments: