Friday, August 27, 2010

Baik Zhohir Kerana Baik Batin

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari

Barang yang ditaruh dalam batin segala rahsia daripada makrifat dan yakin dan lain daripada demikian itu nescaya nyata ia pada pemandangan segala yang zhohir dengan amal

Pengertianya.

Maka zhohir itu cermin batin dan barang(sesuatu WARID) yang ditaruh di dalam batin daripada makrifat Allah Taala nyata ia dalam pemandangan segala yang zhohir dengan kasih(Mahabbah) kepada Allah Taala. Dan barang yang ditaruh dalam batin daripada Jahil pada Allah nescaya nyata ia dalam pemandangan segala zhohir dengan bersandar kepada lain daripada Allah Taala.

Keterangan Suluk.

Kelakuan atau fiil seseorang itu membayangkan atau menunjukkan keperibadian atau hal jiwanya. Jika jiwanya dipenuhi dengan suluhan makrifat seperti ikhlas, tawaduk, kenal Tuhannya dan lain-lain dari sifat keruhanian; maka jiwa atau batin itu akan berhiasan dengan hal atau peribadi seorang yang manusia yang baik tingkah laku amal ibadatnya yang menunjukkan kasih pada hukum Allah itu melebihi kasih yang lain.

Sebaliknya jika batin atau jiwa itu dengan JAHIL pada Allah maka jelaslah pada watak dan peribadi seseorang itu dengan semata-mata bergantung dan mengabdikan diri kepada nafsunya atau rakus pada keinginan dunia semata-mata, hatta dalam ibadatnya masih menuntut dunia seperti kemegahan, pangkat, wang ringgit dan sebagainya.

Kata Pengarang Kitab Hikam

Dan segala zhohir pekerjaan(seperti syukur, lemah lembut dsb) itu menunjukkan ia atas yang tersembunyi dalam hati dan keruh-keruh itu menunjukkan ia yang di dalam hati yang tersembunyi.

Maka pada wajahnya(air muka seseorang) akan nyata terpancar bekas hati itu.(sama ada baik atau jahat). Maka barang yang ditaruhkan dalam Allah Taala akan dia dalam hati dan Asror daripada Makrifat dan Anwar dengan Amal yang Sholeh dan kalam yang Malih(manis) tidak dapat tidak bahawa zhohir bekas demikian itu atas segala anggota yang zhohir denngan kata yang baik dan amal yang baik.

Keterangan Suluk

Perlu dijelaskan di sini bahawa sesuatu yang ditaruhkan atau dicampakkan ke dalam hati itu adalah dinamakan sebagai Warid Ilahiyah. Warid ini adalah hasil dari Wirid(amalan/ibadat dari Ilmu yang benar). Bila Warid Ilahiyah ini melimpahi qalbu ini, maka dapatlah disaksikan dengan penyaksian mata hati atau ruh akan makna-makna di Alam Malakut yang menjelaskan/memaparkan setiap hikmah/rahsia (ibadat Syariat) apa yang tercetus di Alam Syahadah(Dunia Yang Nyata ini). Maka Warid ini menghasilkan AINUL YAKIN di mana dengan Warid inilah seseorang dapat melihat dengan YAKIN akan rahsia ibadatnya yang sebelum itu diyakini dengan Ilmu Yakin.

Mereka ini mendapat didikan oleh Allah dengan Nur Hidayah, Nur Taufik dan Nur Ihsan dengan hati yang Tahqiq dengan Makrifatullah. Lihat perbincangan lanjut mengenai hal ini pada tajuk Makrifatullah.

Kalam yang Malih ialah pengucapan atau kata-kata yang manis dan sedap didengar. Kata-kata ini adalah kata-kata yang berhikmah terbit dari hati yang menerima Ilham atau Ilmu Laduni dari Allah. Pengucapan ilham ini akan menyentuh jiwa-jiwa yang mendengarnya seakan jiwa diulit dan dibelai dengan halus dan lembut. Ikutilah keterangan lanjut ilham ini pada tajuk Ilmu Laduni.

Kata Pengarang Kitab Hikam.

Dan zhohir itu tanda batin. Jikalau khusyuk hati nescaya khusyuk anggotanya. Dan hati itu suatu bekas apabila penuh ia daripada yang Haq, maka limpahlah dengan bertambahnya Anwar-AnwarNya atas segala anggotanya atau daripada yang batil maka limpahlah dengan bertambah-tambah kelamnya atasnya.

Keterangan Suluk.

Jelas sudah dari keterangan-keterangan di atas bahawa perihal zhohir itu menunjukkan apa yang ada di dalam hati sama ada makrifat atau jahil. Hati itu diumpamakan sebagai satu bekas atau wadah yang bersedia untuk menerima sesuatu.

Jika bekas itu(hati) penuh berisi dengan sesuatu daripada Yang Haq seperti Warid Ilahiyah yang terdiri daripada Nur Makrifat, Nut Tauhid atau Nur Ihsan atau lain-lainnya; maka dengan bertambahnya Warid ini akan melimpahlah keluar hingga ke seluruh anggota seseorang itu dengan suatu sifat atau hal yang mencerminkan limpahan hatinya. Ibadatnya baik dan ikhlas, bersifat dengan peribadi yang mulia dan terpuji, disenangi oleh sesiapa sahaja yang mendekatinya.

Sebaliknya jikalau bekas hati itu penuh berisi dengan perkara-perkara yang batil seperti nafsu syahwat atau syirik atau keduniaan; maka lahirlah sifat atau peribadi seseorang itu dengan kelakuannya yang jahat adabnya dan jahil tindakannya dengan banyak melakukan dosa dan maksiat serta rakus dengan dunia ini.

Kata Pengarang Kitab Hikam.

Maka barangsiapa berdiri ia bagi Allah(bergantung dengan Allah) dalam segala pekerjaannya, maka sanya telah beroleh untung ia dan barangsiapa berdiri ia dengan(mengikut) nafsu dalam segala pekerjaannya, maka sanya beroleh rugi ia.

Dan hasilnya bahawa baik adab yang zhohir itu menjadi tanda barang yang tersembunyi dalam batin(hati).

Telah diceritakan orang bahawasanya telah berdapat(berjumpa dan berbincang) Sheikh Junaid dengan sahabat Abi Hafsin dalam kesudahan adab baginya. Maka kata Sheikh Junaid telah beradab sahabatmu(Abu Hafsin) dengan adab segala raja-raja(Aulia Allah). Maka katanya (sahabat Abu Hafsin); "Tidak..bahkan baik adab pada zhohir itu tanda adab dalam hati".

Maka adalah dikenal seorang itu daripada tiga perkara iaitu :

Kalamnya (Perkataan);

Tasarrufnya (Pekerjaan);

dan Tabiatnya.

Maka diketahui sekelian itu daripada amarahnya(tanda atau alamat seseorang).

Maka jikalau lazim Sidiq (kalamnya, tasarrufnya dan tabiatnya) dan dipilihnya yang Haq dan dimaafkan kesalahan orang lain, maka itu tanda baik batinnya. Maka jikalau tidak sidiq seperti di atas, maka tiadalah baik batinnya itu.

Suatu ketika berkata seorang lelaki bagi Sheikh Ibni Yazid Al-Busthomi RA. :

"Ku lihat engkau pada suatu malam dengan rupa babi". Maka kata Sheikh: "Telah benarlah engkau kerana bahawasanya aku cermin wujudmu. Maka engkau lihat rupa dirimu dalam diriku. Maka engkau sangka bahawasanya engkau itu aku".

Sedang yang sebenarnya lelaki itulah yang mempunyai sifat dan kelakuan babi seperti yang dilihat olehnya.

Ulasan Suluk

Dewasa ini, dalam zaman materialisme ini, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai peningkatan status diri dan keluarganya. Dengan kuatnya desakan-desakan persekitarannya, mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan tujuan mereka tercapai. Akhirnya lahirlah manusia yang ego dan hipokrit. Malah ada antara mereka yang berkata bahawa ego dan hipokrit memang diperlukan untuk berjaya. Maka mereka sanggup menipu pandangan orang lain dengan rupa dan wajah peribadi mereka yang bersesuian dengan usaha mereka. Mereka hidup dengan berlagak baik dan peramah tapi semuanya adalah muslihat dunia mereka. Mereka boleh menipu manusia yang sama sepertinya tapi mereka tidak dapat menipu orang-orang yang ahli makrifat kerana Ahli Makrifat itu memiliki pandangan Ketuhanan yang mampu menembusi segala sesuatu.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya

Dan

Upaya

Melainkan dengan Allah

Yang

Maha Mengetahui

Lagi

Maha Besar

No comments: