Friday, August 27, 2010

Makrifatullah

Wahai Tuhanku, berikanlah daku Ilmu Hikmah [pengetahuan ugama] dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang Sholeh [Al-Syura:83]

Mengikut pandangan Ulama'; Makrifat atau Mengenal Allah ada dua jenis

1) secara ilmu pengetahuan (Ilmi) dan

2) secara perasaan (Haali) atau rasa rohani

Makrifat secara perasaan lebih utama dari secara ilmu pegetahuan sebab perasaan(rasa) yang benar mesti melalui pengetahuan yang benar. Tapi sebenarnya jika dikaji dan dijelujuri dengan mendalam kita akan mendapati sebenarnya antara dua perkara tersebut ianya saling berkaitan antara satu sama lain.

Imam Ghazali semasa membahaskan tentang kedudukan Ilmu Tasauf di antara ilmu-ilmu yang ada di dunia ini, ada menegaskan:

"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang di dalamnya terdapat seluruh hal-ehwal dua ilmu yang tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang

khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu.

Ilmu mereka terdiri dari :

Hal, Waktu, Samaa', Wujdan, Sheikh, Sakr,

Sohwu, Isbat, Mahwu, Fakir, Fana, Wilayah,

Irodah, Murid

dan apa yang berhubung dengan Hal Ehwal mereka serta tambah-tambahannya, sifat-sifat dan maqam-maqam.

Berhubung dengan ilmu yang tersusun ini, meskipun Imam Ghazali tidak menerangkan dengan jelas, kita dapat penjelasan mengenainya dalam kitabnya "Al-Ihyaa' ketika menerangkan tentang "hakikat fikiran dan buahnya".

Menurut keterangannya bahawa fikiran (Al-Fikr/Tafakkur) adalah bererti mendatangkan dua makrifat (ilmu) dalam Qalbu untuk untuk menghasilkan makrifat yang ketiga.

Dengan ini bermakna bahawa Ilmu Aqli yang berasaskan akal semata-mata itu mengandungi dua ilmu yang tersusun yang melahirkan ilmu yang ketiga.

Bila ilmu yang ketiga ini telah didapati dengan erti telah terterap pada Qalbu, suatu perubahan pada 'hal Qalbu' terjadi yang menyebabkan berubahnya pula tindakan-tindakan anggota.

Jadinya dengan "fikiran" menerusi sistem duaan itu menelurkan "ILMU". Ilmu ini menelurkan pula "HAL" dan hal menelurkan "Tindakan" (Al 'Amal atau Al-Fi'li) [lihat Al-Ahyaa' penggal 4 muka 412-413].

Oleh itu Hal(kedudukannya) yang terpenting bagi seseorang pada setiap waktu dan di dalam segala keadaan adalah adanya pengetahuan(Ilmu) tentang Allah yang akan menerbitkan amal (perbuatan, Iktiqad, syuhud, thoriq) yang benar atau Yang Haq.

Ini adalah berdasarkan jika kita lihat dari sudut hal (atau amal), kita akan dapati hal itu sendiri adalah Ilmu; kerana ianya berpunca(datang) dari Ilmu Yang Sebenar.

Dan apabila kita melihat dari sudut Ilmu (pengetahuan/Ilmu Tentang Allah) kita akan dapat menyaksikan bahawasanya Ilmu (pengetahuan/Ilmu Tentang Allah) itu adalah dirujuk kepada Hal atau peribadi jiwa seseorang yang hampir dengan Allah. Dan bahawasnya Hal yang tertinggi di sisi Allah adalah adanya pengetahuan atau Ilmu Tentang Allah. Ilmu Tentang Allah adalah punca segala kebenaran(HAQ).

Ilmu yang dimaksudkan inilah dikatakan sebagai Ilmu Makrifat dan Ilmu inilah yang menjadi intipati Ilmu Ahli Sufiah. Dari ilmu merekalah terbitlah segala hal-ahwal tentang keruhanian yang mana akhir memperlengkapkan kesempurnaan seorang Insan.

Lihatlah betapa istimewanya adunan Ilmu Ahli Sufiah ini yang jauh bezanya dengan ilmu-ilmu lain yang ada di dunia ini. Ini adalah kerana mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu. (Kata-kata Imam Ghazali).

Ilmu Tentang Cara-Cara Beramal + Ilmu Yang Hasil Dari Amalan (Warid)

=

Ilmu TASAUF

Jalan mereka adalah jelas dan nyata sekali dengan petunjuk-petunjuk yang sebenar; mewarisi keluhuran Ambiya dan Mursalin serta menghiasi jiwa dengan pemaparan rahsia-rahsia yang terpendam Aulia Allah.

Mereka meniti di atas Jalan Yang Benar kerana adanya Warid Ilahiyah(Ketuhanan). Warid inilah yang dimaksudkan sebagai Ilmu Yang Hasil Dari Amalan Syariat yang mereka kerjakan dengan penuh keyakinan.

Keyakinan mereka adalah semata-mata pada membenarkan apa yang ada pada diri Sayyidul Mursalin Nabi Muhammad SAW. dan pewaris-pewaris Baginda walaupun tanpa sebarang penyaksian. Hanya semata-mata dengan bertaqlid pada segala apa yang mereka (Rasulullah dan ulama-ulama Pewaris Baginda) katakan dan kerjakan tanpa ragu-ragu.

Ada pun tempat singgah Warid Ilahiyah ini pada hati atau ruh atau qalbu. Bila Warid Ilahiyah ini melimpahi qalbu ini, maka dapatlah disaksikan dengan penyaksian mata hati atau ruh akan makna-makna di Alam Malakut yang menjelaskan/memaparkan setiap hikmah/rahsia (Syariat) apa yang tercetus di Alam Syahadah (Dunia Yang Nyata ini).

Ilmu mereka kini adalah Ilmu yang dirasa dan dilihat bukan lagi dengan Ilmu yang hasil dari yang apa yang tersurat.

Seperti orang yang melihat, mengopek dan seterusnya memakan serta merasai kaifiat rasa lazat durian itu yang beliau sendiri tidak dapat memperihalkannya kecuali dengan kalimah "lazat"...'lazat'.....'lazat' .

Tapi bagaimanakah lazatnya?????

Rasalah sendiri barulah tahqiq pada anda rasa "lazat"...'lazat'...'lazat' itu.

Maka berhiasilah jiwa dan keruhanian mereka dengan Sifat-sifat Ketuhanann (WARID) dan pandangan-pandangan Ketuhanan yang kemudiannya memperelokkan Syariat mereka, memperbetulkan Thoriqat (Jalan) seterusnya mengkholiskan (Mensucikan) Makrifat mereka.

Jika syariat tidak ada dalam erti kata tidak diamalkan dengan barang apa yang diketahui maka tiadalah sesuatu yang hendak diperelokkan. Oleh itu tidak dapat tidak (WAJIB), syariat dulu yang perlu diperbetulkan (dibentuk/diadakan) sebagai persediaan untuk dihiasi oleh Keruhanian.

Jika seseorang lari dari syariat atau anda memperlecehkannya atau memandang dingin padanya orang itu bukan dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka Ahli Tasauf. Orang itu hanyalah semata-mata mendakwa dan berangan-angan kosong sahaja dan mungkin telah tertipu dan mungkin sesat.

Ini adalah kerana sebenarnya mereka lari atau memperlecehkan atau memandang dingin kepada Warid Ilahiyah. Menafikan WARID samalah seperti menafikan Kelebihan Wirid yang akhirnya menafikan Ilmu Tasauf.

Benarlah kata-kata Ahli Sufiah;

Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya.

Oleh itu ahli makrifat melihat yang ghaib bukan hanya dengan Ilmu dan Iman sahaja. Iman terdiri dengan pendengaran, keyakinan dalam pandangan, dan keyakinan dalam rasa.

Orang dahaga mendengar nama air - Ini menimbulkan kepercayaan padanya (adanya air); dilihat air itu - Ini menimbulkan keyakinan , dirasainya(air itu) - Ini menimbulkan rasa keyakinan. Jika seseorang itu berhenti setakat pendengaran sahaja, dia tidak dapat peringkat melihat dan merasa.

Jelaslah di sini Martabat atau nilai kehidupan setiap manusia bergantung kepada makrifat. Cara atau Jalan untuk memperolehi Makrifat ini adalah semata-mata dengan mengikuti Jalan-jalan Pewaris Nabi-Nabi dari kalangan Aulia Allah, Sholihin yang beramal dengan Cara dan Kaedah Ilmu Tasauf.

Adunan ilmu mereka adalah adunan syariat dan pati tauhid. Mereka ini lalah golongan Fakeh Yang Sufiah bukannya Sufiah Yang Fakeh.

Barangsiapa yang tidak mempunyai makrifat, maka hilang nilainya sebagai Khalifah Allah atau Insanul Kamil atau maksud:

"Aku hembuskan pada (Adam/manusia)dari RuhKu(Allah)" Surah Shod:72 dan

"Aku jadikan dia(Adam/manusia) dengan kedua-dua tanganKu" Surah Shod:75

Lihat perbincangan lanjut pada pada tajuk Asal dan Kedudukan Ilmu Tasauf dalam

bicara mengenai Ilmu Laduni.

Pengetahuan tentang diri kita adalah sebahagian daripada makrifat. Kerana sekiranya pengetahuan kita adalah pengetahuan yang benar; kita akan dapat menyaksikan betapa hebat dan berpotensinya kita jika dibandingkan dengan kejadian-kejadian makhluq ciptaan Allah yang lain.

Kita paling istimewa dan hebat kerana kita mampu untuk menguasai Ilmu Yang Tidak Terhad tanpa belajar (Nabi Adam);

Kita mampu untuk menghadap dan Melihat Allah tanpa Hijab (Nabi Muhammad SAW.) : "Siapa yang kenal dirinya akan kenallah pada Tuhannya"

Rahsia-rahsia dari pengucapan ini hanya diberikan kepada mereka yang ada Makrifat.

Dan berkaitan dengan Makrifat ini seorang guru Ahli Sufi Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari ada berkata tentang halnya iaitu :

Barangsiapa Makrifat (mengenal akan Haq Allah Taala), nescaya dipandangnya Allah dalam tiap-tiap sesuatu yang mana pengertianya ialah "Barangsiapa mengenal ia akan haq Allah Taala, nescaya dipandangnya (musyahadahkan) akan Allah dalam tiap-tiap sesuatu di mana Allah yang berbuat dan yang memerintah".

Ini menunjukkan tujuan makrifat ini ialah untuk mentauhidkan Allah atau sebagai memaknakan pengucapan kalimah.

Jauh sekalilah benarnya orang-orang yang menafikan Ketuhanan Lain Selain dari Allah tapi masih melihat amal dan ilmunya dengan orang menafikan wujudnya "ghair" dan terlupa akan wujud dirinya.

Jauh sekalilah dari fahaman yang sebenarnya; orang yang Menafikan Ketuhanan tetapi masih besar kegoan (Keakuan) mereka dengan orang yang mengisbatkan Istiqna' (Terkaya) dan Iftikor (Berhajat) dalam Ketuhanan Allah.

Dan jauh lagi dari sampainya (WASIL lLALLAH) orang-orang yang hanya memerhatikan zhohir sesuatu.

Firman Allah dalam surah Yusof:106 bermaksud:

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

Mujahadah ialah permainan kanak-kanak, dan memerhatikan yang Allah ada di mana

sahaja adalah perjuangan. Matinya diri itulah kesudahannya.

Hukum Waktu

Berkata Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari Dengan Kalam Hikmahnya :

Jangan kamu menanti-nanti akan selesai daripada Agyar, maka bahawasanya demikian itu memutuskan engkau daripada wujud Muroqobah ( menilik-nilik hak Allah) baginya pada yang didirikan engkau di dalamnya.

Nota: Maksud agyar ialah halangan-halangan atau perintang-perintang yang menegah kita daripada melakukan taat, amal ibadat lahir dan batin. )

Pengertian dan Huraiannya oleh Tok Pulau Manis :

Jangan kamu menanti-nanti (menunda-nunda) dalam mengerjakan amal (taat zahir dan batin) itu selesai daripada Agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat.

Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan (masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua. Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya.

Keterangan Suluk

A. ..Jangan kamu menanti-nanti dalam mengerjakan amal akan selesai daripada agyar yang telah mendirikan Allah akan engkau.

Maksud agyar ialah halangan-halangan atau perintang-perintang yang menegah kita daripada melakukan taat, amal ibadat lahir dan batin. Halangan-halangan itu ialah seperti kesibukan kita dalam menguruskan kerja dan tugas harian kita sama ada di tempat-tempat kerja atau di kalangan ahli keluarga kita.

Sesungguhnya kesibukan itu akan sentiasa ada selama waktu kita di dunia ini lebih-lebih lagi kepada mereka yang ditimpa musibah seperti sakit, keuzuran yang berpanjangan atau pendapatan yang kurang (miskin) untuk menampung keperluan ahli keluarga yang besar. Sebenarnya kesibukan tugas, bala musibah atau kesusahan yang kita alami itu...adalah mengikut kehendak Allah yang Maha Berkuasa.

Kita telah ditentukan dalam maqam asbab (golongan yang mesti berusaha) yang menghendaki kita supaya penat dan lelah berusaha dalam meneruskan kehidupan. Tetapi kesibukan dan kesusahan kita dengan tugas dan kewajipan dunia itu...janganlah dijadikan alasan untuk kita tidak melakukan amal ibadat (zahir dan bathin). Pengabaian kita untuk melakukan taat dan amal dalam keadaan ini adalah sesuatu yang ditegah dan dilarang.

B.... dan jangan kerana menanti-nanti suatu waktu yang lain daripada waktu yang engkau di dalamnya, bahkan kerjakan olehmu akan amal dalam tiap-tiap waktu dengan segala hukumnya dan dirikan olehmu pada tiap-tiap hak dalam tempatnya dan jangan menanti-nanti akan sihat.

Seorang yang sibuk dengan kerja akan mengatakan 'tunggulah sehingga pekerjaan saya beres nanti' atau 'tunggulah apabila saya pencen nanti' atau seorang pelajar yang sedang mengejar cita-citanya akan membisikkan "nantilah apabila cita-citaku ini tercapai" atau seorang yang punya anak ramai akan berkata 'tunggulah bila anak-anak sudah besar nanti' akan saya buat banyak-banyak amal dan ibadat nanti. Ini adalah contoh-contoh mereka yang suka menunda ke suatu waktu yang lain untuk beribadat pada Allah.

Fahaman dan pandangan ini adalah salah, dan di anggap 'kurang ajar" kerana seorang "hamba” yang taat dan patuh tidak akan punya alasan untuk berhujuh dengan "tuannya" tentang tugasan yang diarahkan oleh "tuannya".

Bahkan kita dikehendaki melaksanakan setiap amalan dan ibadat setiap masa dan ketika mengikut hukum-hukumnya. Lebih-lebih lagi amalan yang fardu serta yang Sunat Mu'akad (yang sangat-sangat dituntut). Setiap solat fardu yang difardukan wajib-lah dikerjakan segera mengikut kadar waktunya, begitu juga dengan puasa, zakat dan ibadat haji serta ibadat-ibadat lainnya.

Demikian juga dengan amalan batin yang bersifat keruhanian. Kita juga dituntut untuk melaksanakan hak-hak hukum waktu yang menjadi kemestian sebagai seorang hamba dalam Ubudiyahnya.

Antara hak-hak hukum waktu yang perlu dilaksanakan ialah:

Waktu Taat wajib kita pandang amalan ibadat yang mampu dilakukan itu adalah kurnia dari Allah.

  • Waktu Nikmat wajib kita sukur pada anugerah Allah
  • Waktu Bala wajib kita bersabar dengan ujian dan Qodanya.
  • Waktu Maksiat wajib kita segera bertaubat

Ini menunjukkan bahawa dalam setiap saat kita tidak bisa lari dari salah satu daripada tuntutan hukum waktu tersebut. Bukan semestinya dalam waktu kita senang atau sihat sahaja.

C. ...Maka bahawasanya menanti-nanti yang demikian itu membatalkan (masa melakukan amal ibadat pada Allah) kerana muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang kedua itu menghilangkan bagi hak yang awal dan bagi hak yang awal itu daripada haknya, tiada daripada yang kedua.

Maka dengan wujud yang kedua itu maka hilanglah hukum yang dahulunya. Sekiranya kita menunda waktu solat zohor hari ini kepada zohor esok hari, maka waktu zohor hari ini telah luput dan tidak akan dapat diganti lagi.

Begitu juga apabila kita melakukan maksiat (zahir batin)...hukum pada waktu tersebut meminta supaya kita bertaubat. Melengahkan waktu bertaubat dan meninggalkan solat zohor tadi telah meluputkan hak muroqobah (menilik-nilik hak Allah) yang pertama.

Maka apabila kita menilik-nilik untuk mengabaikan sesuatu kewajiban pada waktu itu, dengan sendirinya telah hilanglah hukumnya dan telah lalailah kita daripada melaksanakan hak hukum waktu tersebut.

Ini adalah salah satu bentuk kelalaian dan penderhakaan kepada Allah yang jarang dapat ditanggapi oleh kebanyakan manusia.

Bayangkan lah jika menundakan saat pertama kepada saat kedua sudah dianggap salah dan berdosa....apa pula jika menunda-nunda dari ….

waktu muda kepada waktu tua

waktu sibuk kepada waktu senang

waktu uzur kepada waktu sihat

waktu susah kepada waktu kaya

waktu usaha kepada tercapai cita-cita dunia

..tentulah bertimbun-timbun dosa dan kesalahan kita dalam menjaga dan memelihara hak hukum waktu ini.

Dari kerana itulah...

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis

Maka lazimkanlah (WAJIB) atasmu mendirikan(melaksanakan) HAK WAKTU dan jangan kamu kata esok...esok..kerana yang demikian itu membinasakan(umurmu). Hendaklah engkau tuntut itu dengan muroqobah waktu (menilik-nilik hak Allah) yang engkau di dalamnya dan jangan engkau menanti-nanti bagi waktu lainnya. Maka janganlah engkau menanti-nanti untuk selesaikannya pada waktu lain kerana tiada terangkat hukumnya (akan sentiasa dituntut setiap waktu).

Tiadalah berkesudahan istighal(kebimbangan/kesusahan) dunia ini seperti kata setengah daripada kaum sufiah dengan katanya:

"Maka tiadalah lepas seseorang daripada dunia ini akan hajatnya dan tiadalah berkesudahan maksud melainkan kepada suatu maksud yang lain".

Kata Abu Hafzin RA :

"Bermula fakir yang shodiq (fakir yang benar dengan fakirnya) adalah ia dalam setiap waktu dengan hukumnya. (ibadat dan redho dengan Allah). Maka apabila datang ke atasnya sesuatu yang membimbangkan dia (terhalang untuk ibadat kepada Allah) maka liarlah (lari) ia daripadanya dan dinafikanya (ditolakkannya)".

Berkata Sahl bin Abdullah RA. :

“Apabila malam.... maka jangan engkau mengira-gira (menanti-nanti) akan siang hingga engkau sempurnakan hak Allah Taala dalamnya dan demikan pulalah apabila siang hari".

Ditanyai orang akan Sahl bin Abdullah RA.: Di waktu mana beroleh istirehat seorang fakir itu?. Beliau menjawab dengan katanya: "Apabila tiada dilihatnya yang lain daripada waktu yang ia dalamnya". Maksudnya seorang fakir tidak ada waktu istirahatnya kerana setiap waktu itu beliau sentiasa berada dalam tuntutan hak Allah (hak hukum waktu).

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah

yang Maha Mengetahui dan Maha Besar

Nilai Setiap Nafas

Berkata Kalam Hikmah Sheikh Ibni Atho'illah As-Kandari:


Tiada daripada nafas yang engkau keluarkan itu,

melainkan adalah bagi nafas itu nilai, yang dilalukannya akan nafas itu.

Pengertian dan Huraiannya oleh Tok Pulau Manis:

Sesungguhnya segala nafas seorang hamba itu dikira-kirakan (dihitung dan dinilai) atasnya kerana bahawasanya setiap nafas itu menghendaki ia Tajali ( pembukaan / penzahiran hakikat ) dan demikian Tajali mewajibkan makrifat dan demikian makrifat mewajibkan bagi hamba itu Ubudiah dan sekurang-kurang Ubudiah itu diam di bawah segala takdir Allah kerana melihat hamba akan lemah dirinya (Hakikat kehambaan) dan bersendirian Tuhannya dengan kebesarannya (Hakikat Ketuhanan).

Keterangan Suluk

Setiap nafas menghendaki ia Tajali

Dalam setiap detik kehidupan yang dihitungkan dengan kiraan nafas yang ada pada kita, sememangnya setiap nafas yang kita sedut dan hembus itu sentiasa menanti-nanti dan bersedia untuk menerima Tajali daripada Al-Haq. Tajali inilah yang akan membukakan sir (rahsia mata hati) kita untuk melihat hakikat kewujudan Allah dan bagaimana hakikat itu dizohirkan.

Contohnya apabila seorang kawan memberi hadiah kepada kita, pandangan mata hati kita pada saat dan ketika itu akan terbuka dan melihat Allah yang menganugerahkan hadiah itu. Tidak terlihat kawan kita tadi. Jika kita nampak juga kawan kita tadi, pandangan kita akan melihat bagaimana Allah menzohirkan nikmat itu melalui pentadbiranNya dengan menghantar kawan kita sebagai pembawa hadiah dariNya. Terbukanya hakikat penzohiran inilah dikatakan sebagai Tajali dari Allah dan demikian Tajali mewajibkan makrifat.

Apabila terbuka hakikat ketuhanan dan terzohir pada kita kita Tauhid Rububiyah melalui Tajali di atas, bererti seseorang itu telah dikatakan mempunyai makrifat. Dengan makrifat ini seorang hamba itu dapat membezakan:

4 antara yang hak(Allah) dan yang batil(makluk)

4 antara yang benar-benar Wujud(Zat Allah) dan Wujud yang 'Aridi/baru (Wujud Makhluk)

4 antara hakikat ketuhanan dan hakikat kehambaan

Inilah apa yang dikatakan dengan Tajali Allah.... seorang hamba itu mendapat makrifat. Dan demikian makrifat mewajibkan bagi hamba itu Ubudiah.

Apabila seorang hamba yang memiliki makrifat tadi dapat membezakan bahawa Allah bersifat dengan Qhani(Kaya), Qawi(Kuasa), Qadir(Kehendak), 'Aziz(Mulia) dan Kamalat(Sempurna) sedangkan hamba bersifat dengan Fakir, Dhoif, Lemah, Kurang dan Hina, sudah tentulah hamba itu mempunyai kesedaran yang tinggi tentang tanggung jawab yang harus dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada Tuhannya.

Kesedaran yang tinggi inilah akan meningkatkan darjah keimanannya di mana ia harus taat dan patuh kepada apa sahaja yang Allah perintahkan. Hamba ini akan menjadi hamba yang tahu diri di mana sekurang-kurangnya ia wajib redho atas apa yang berlaku dalam kehidupannya sama ada nikmat, taat dan bala.

Samalah seperti kita katakan matahari makrifat itu menghapuskan kegelapan perjalanan Salik. Maka adalah tiap-tiap nafas itu merupakan Salik berjalan kepada Tuhannya. Kerana

inilah telah mengisyaratkan guru-guru tasauf dengan katanya :

"Bermula jalan kepada Allah Taala itu adalah sebanyak bilangan nafas makhluk. Maka dalam bilangan nafas dalam sehari semalam itu ialah dua puluh empat ribu (24 000)."

Demikianlah adab hamba itu dalam segala nafasnya dijadikan bagi Tuhannya agar tiada dipergunakan untuk membuat maksiat kepada Allah. Ini adalah kerana bahawasanya nafas itu gedung tempat simpanan segala amalnya yang memberi manfaat bagi hamba.

Terdapat setengah daripada kaum sufiah berpandangan ....dibilangkan(dihitungkan) juga sesuatu yang dapat meluputkan setengah daripada nafasnya itu ialah pada ketika mengunyah makanan apabila makan. Ini adalah bertujuan supaya jangan ia(hamba) berbimbang ia pada segala nafas dalam makan selain daripada zikir.

Inilah muraqabah yang tinggi pada makam Al- Suluk. Telah menghitungkan akan kepentingan nafas itu dari segala orang-orang yang dahulu. Tetapi setengah daripada mereka itu berpendapat yang terlebih sempurna padanya ialah muraqobah "Thorfatal 'Aini" iaitu setiap kerlipan mata.

Dan adalah pengertian muraqobah itu ialah mentahkidkan hati dengan menilik hak Allah Taala dalam batinnya dan dalam zahirnya pada tiap-tiap masa. Barang siapa memeliharakan (menilik hak Allah) ia dalam setiap nafasnya maka hendaklah dihentikannya (tetap dan istiqomah) sekelian ahwalnya (hal dan gerak gerinya). Ini bermaksud kehidupan hariannya sentiasa tetap dengan ibadat dengan perhatiannya kepada menilik kepada Allah dalam setiap kelakuan makhluk.

Setengah daripada faedah ataupun hikmah memandang takdir Ilahiyah itu ialah dapat meninggalkan tadbir (usaha dan ikhtiar kita) seperti yang dikata oleh setengah kaum sufiah dengan kata mereka :

Telah luluslah (berlaku) segala takdir Tuhan dan hukumNya. Maka senangkanlah

hati mu daripada mengharap-harap dan daripada menyesal-nyesal.

Keterangan Suluk

Inilah sebahagian daripada kunci ketenangan dan kebahagian yang ada pada kaum sufiah. Benarlah kata kaum ini kerana kita banyak penat dan lelah dalam mengusahakan keperluan kehidupan harian kita kerana kita merasakan kita mampu membuat banyak pilihan dan menentukan sesuatu sedangkan hakikatnya memang Allah yang sudah memilih dan menentukan sesuatu untuk kita. Sebagai pengakhirnya renungilah dengan ikhlas kata-kata Imam Besar Tasauf Sheikh Junaid Al-Bagdadi iaitu:

"Orang yang paling agung ialah orang yang menyerahkan kehendaknya kepada kehendak Allah dan dia redho dengan Allah".

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya

Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah

yang Maha Mengetahui dan Maha Besar

Syahwat Yang Tersembunyi

Kata Sheikh R.A yang bermaksud :

Berkehendak engkau akan tajrid

padahal mendirikan Allah akan dikau pada segala asbab

adalah setengah daripada syahwat yang tersembunyi.

Barangsiapa yang telah ditentukan oleh Allah hidup dalam keadaan membina dan mencorak kehidupan mereka dengan cara berusaha dan bekerja tetapi bercita-cita ia mahu keluar daripada jalan usaha atau asbab ini dengan tujuan untuk semata-mata beribadat secara khususiah kepada Allah tanpa memikirkan tentang kehidupan dunianya, maka yang demikian itu adalah timbul dari nafsu keinginan jahat yang tersembunyi. Hanyasanya adalah ia daripada syahwat kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa itulah ketetapan Allah yang dikehendakiNya. sedangkan kehendak hamba itu menyalahi yang demikian itu.

Terjemahannnya oleh Tok Pulau Manis

Hanyasanya adalah syahwat itu tersembunyi kerana bahawasanya pada zahirnya menampakkan seakan hamba itu bercita-cita untuk keluar daripada nafsu. Dan sememangnya hal yang demikian itu adalah dituntut dan dikehendaki oleh Allah Taala. Tetapi satu hal yang perlu dingat ialah sesuatu kehendak atau cita-cita besar itu, hendaklah berlandaskan dengan keredhaan Allah bukannya daripada keredhaan nafsu.

Sesungguhnya apa yang diredhoi oleh Allah Taala akan dirimu ialah berdiam(tetap) pada apa yang telah didirikan Allah atas engkau, sama ada pada makam asbab ( golongan yang bekerja dan beribadat ) atau makam tajrid ( semata-mata beribadat kepada Allah tanpa memikirkan usaha dan tanggungjawab kepada ahli keluarga ).

Kata Muallif ( pengarang ) Kitab Tanwir Qulub, bermula yang dikehendaki hak Allah Taala akan dikau ialah bahawa diam ( tetap dalam sesuatu hal ) kepada yang telah didirikan Allah akan dikau, hinggalah ke satu masa di mana Allah memerintahkan keluar engkau ke satu hal atau maqam yang lain.

Dan kata Sheikh Hijazi bermula Iradat ( kehendak ) itu tiga perkara iaitu;

Iradat Al-Tob'i iaitu kehendak yang takluk dengan kepada bahagian nafsu. Dan keluar daripadanya adalah WAJIB. Bahagian nafsu ini ialah seperti kehendak kepada kemasyhuran, pangkat, kedudukan atau berlazat-lazat pada makanan dan pakaian serta lain-lain lagi.

Iradat Al-Tamni iaitu kehendak bagi segala Ahli Tawajuh ( yang selalu berhadap hati kepada Allah ) yang Salik ( mereka yang dalam permulaan perjalanan menuju kepada Allah ). Mereka ini hanya berkehendakkan kepada kurnia Allah semata-mata.

Iradat Al-Haq iaitu kehendak yang takluk pada keikhlasan hakikatnya ia-itu untok menyucikan amalan yang mereka kasihi daripada syirik Jali ( nyata ) dan syirik khofi ( tersembunyi ).

Maka syirik khofi itu ialah seperti bahawa engkau jadikan kehendak bagimu itu serta Allah atau engkau lihat bagimu wujud (kita ada, Allah ada = dua wujud ). Maka apabila telah ikhlas engkau daripada penyakit lalai itu dan telah Allah hapuskan hukum maksiat pada sekalian itu maka jadilah engkau serta Allah tiada dengan kun ( terhijab dengan alam benda ).

Sesungguhnya menetapkan Allah akan dikau dalam segala asbab. Dan berkehendak engkau tajrid menunjukkan masih lagi tinggal syahwat dan nafsu yang tersembunyi. Tiada dinyatakan (diketahui) di atas seseorang hamba melainkan kepada segala orang yang Ahli 'Inayah kerana bahawasnya syahwat itu tiada jadi ia melainkan daripada nafsu sama ada yang bangsa (bersifat) dunia atau bangsa (bersifat) akhirat.

Semoga Allah memberi kita semua petunjuk dan hidayahnya. Amin

TIADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN BANTUAN ALLAH

DAN KURNIA RAHMATNYA

Tanda-tanda Bergantung Pada Amalan

Kata Sheikh R.A yang bermaksud :

Setengah daripada alamat orang yang bergantung(bersandar) atas amal itu ialah kurang harapannya apabila melakukan kesalahan(maksiat).

Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis

Sebahagian daripada tanda-tanda hamba Allah yang bersandar dirinya pada kekuatan amal usahanya ialah berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah dan apabila mereka membuat sesuatu kesalahan atau dosa disisi Allah dan akan sempurna harapannya kepada Allah apabila beliau banyak melakukan ketaatan.

Adalah yang demikian itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya berbuat amal dan orang-orang-orang Arif tiada sekali-kali menilik dirinya berbuat sesuatu amalan.

Adalah segala hal manusia itu terbahagi kepada beberapa bahagi seperti di bawah:

Yang pertamanya ialah golongan yang bersandar atas amalan yang mereka lakukan dan alamatnya ialah berkurangan harapannnya kepada Allah apabila tiada hasil baginya apa yang dimaksudkan seperti untuk memperolehi sesuatu perkara yang luar biasa daripada amalan-amalan dan ibadat yang dilakukan.

Yang keduanya ialah mereka yang bersandar kepada anugerah taufik dan hidayah daripada Allah dan alamatnya ialah sentiasa rujuk (melihat kehendak dan kekuasaan Allah) kepada Allah sama ada dalam nikmat kesukaan atau bala(kesakitan). Apabila mereka suka mereka berkata Alhamdulillah dan bersyukur kepadanya dan apabila duka (ditimpa dbencana) kepada Allahlah mereka minta tolong dan berlindung.

Yang ketiganya ialah mereka yang bersandar atas bahagian yang telah terdahulu iaitu apa-apa yang telah ditentukan pada azali lagi. Alamatnya ialah tiada gundah(bimbang) dengan ketiadaan asbab(seperti makan atau pekerjaan). Maka tiadalah bertambah harapanya kerana sesuatu dan tiada kurang harapannya kerana sesuatu. Sama sahaja ada dan tiada sesuatu dan jikalau ditimbang harapan dan takutnya nescaya bersamaan dalam tiap-tiap waktu dan hal malahan mereka ini sentiasa SUKA DENGAN ALLAH.

Kata setengah daripada kaum sufiah adalah golongan yang ketiga itu ialah mereka yang menyerahkan dirinya dan diam dibawah perintah segala hukum Allah iaitu mereka yang sentiasa menilik dan musyahadah kepada fi'li(perbuatan) Allah dan FANA daripada dirinya.

Berkata pula setangah daripada orang-orang MUHAQQIQIN R.A, barangsiapa yang sampai kepada HAKIKAT ISLAM (pengakuan zohir) maka tidaklah kuasa dia daripada berhenti untuk sentiasa melakukan amal dan ibadat dan barangsiapa sampai kepada HAKIKAT IMAN maka tiadalah berupaya untuk berpaling(lari) daripada amal dan ibadat dan barangsiapa sampai kepada HAKIKAT IHSAN maka tiadalah kuasa dia berpaling kepada sesuatu lain daripada Allah(sentiasa musyahadah dengan Allah).

Berkata pula pengarang kitab Hikam :

Ketahui olehmu wahai Salik !!.

Bahawasanya adab kepada orang yang AHLI THORIQ dalam sesuatu waktu(detik/saat)

itu boleh jadi :

ADAB AL-SYARIAT dan dalam sesuatu waktu boleh jadi

ADAB-AL-KHIKMAT dan sesuatu waktu yang lain boleh jadi

ADAB-AL-HAQ.

Maka maksud ADAB-AL-SYARIAT itu ialah berdiri yakni buat amal dan menunaikannya mengikut kehendak hukum syarak. Ini adalah langkah permulaan bagi segala orang yang menjalani jalan menuju kepada Allah.

Maka maksud ADAB-AL-KHIDMAT ialah fana(hilang/hapus) daripada melihat segala amalan yang dikejakannya dan tiadalah mereka memandang kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah Taala jua kerana bagi oarang yang dalam makam ahli khidmat, WAJIB bagi mereka tidak bersandar di atas amalan yang mereka kerjakan.

Maksud ADAB-AL-HAQ ialah seperti "kuketahui barang yang bagimu dan barang yang hak Allah. (hilang dan tenggelam jiwanya dalam lautan musyahadah dengan Allah). Inilah makam atau kedudukan orang yang AHLI TAHKIQ kerana hamba itu apabila mengenal ia hakikat sifat-sifat hamba iaitu FAKIR, DHOIF, LEMAH, HINA dan KURANG di samping mengenal suatu yang tuhannya yang bersifat dengan GHONI(KAYA), QAWI(KUAT/KUASA), QADIR(PEKEHENDAK), 'AZIZ(MULIA) DAN KAMALAT(KESEMPURNAAN).... maka hamba yang ahli-tahkiq ini fanalah ia daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Allah. (tidak nampak susuatu ini melainkan melihat akan kewujudan Allah yang MAHA SEMPURNA).

INILAH... bagi hamba-hamba pilihan yang berupaya melihat akan kamalat kudrat tuhannya kerana bahawasanya barangsiapa tiada melihat akan kamalat kudrat tuhannya dalam MAKRIFAT maka gugurlah(turun) ia makam atau keadaan yang sempurna (INSANUL KAMIL). Maka apabila telah engkau lihat akan kamalat kudrat tuhamnu maka fanalah engkau daripada tiap-tiap perkara yang lain daripadaNya.

Sesungguhnya hendaklah engkau ketahui bahawasanya kehendak Allah daripamu dalam tiap-tiap hal dan tiap-tiap perkataan dan tiap-tiapa makam.

INILAH... kesudahan-kesudahan adab kerana bahawanya yang dikehendaki oleh hak Allah ialah bahawa engkau itu tiada berdaya dan hendaklah engkau menggugurkan segala ikhtiarmu (iaitu tidak pandang dan mengira-gira) dan hendaklah engkau memutuskan kehendakmu(jangan nampak kekuasaanmu) pada tiap-tiap perkara yang Allah telah tetapkan engkau di dalamnya, sama ada di dalam Maqam Tajrid(semata-mata beribat kepada Allah tanpa memikirkan usaha) atau di dalam Maqam Asbab.

Semoga Allah memberi anda petunjuk dan hidayahnya.

TIADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN BANTUAN ALLAH

DAN

KURNIA RAHMATNYA

Thursday, March 18, 2010

صلاة التاج - SELAWAT TAJ

صلاة التاج

بسم الله الرحمن الرحيم

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَاحِبِ التَّاجِ وَالْمِعْرَاجِ وَالْبُرَاقِ وَالْعَلَمِ دَافِعِ الْبَلاَءِ وَالْوَبَاءِ وَالْقَحْطِ وَالْمَرَضِ وَلْأَلَمِ اِسْمُهُ مَكْتُوبّ مَرْفُوعّ مَشْفُوعٌ مَنْقُوشٌ فِي اللَّوْحِ وَالْقَلَمِ سَيٌِدِ اْلعَرَبِ وَاْلعَجَمِ جِسْمُهُ مُقَدِّسٌ مُعَطَّرٌ مُطَهَّرٌ مُنَوَّرٌ فِي اْلبَيْتِ وَالْحَرَمِ شَمْسِ الضُّحَى بَدْرِ الدُّجَي صَدْرِ الْعُلى نُورِ الْهُدَى كَهْفِ اْلوَرَى مِصْبَاحِ الظُّلَمِ جَمِيلِ الشِّيَمِ شَفِيعِ الْاُمَمِ صَاحِبِ الْجُودِ وَالْكَرَمِ وَاللَّهُ عَاصِمُهُ وَجِبْرِيلُ خَادِمُهُ وَالْبُرَاقُ مَرْكَبُهُ وَالْمِعْرَاجُ سَفَرُهُ وَسِدْرَةُ الْمُنْتَهَى مَقَامُهُ وَقَابَ قَابَ قَوْسَيْنِ مَطْلُوبُهُ وَاْلمَطْلُوبُ مَقْصُودُهُ وَاْلمَقْصُودُ مَوْجُودُهُ سَّيٌِدِ اْلمُرْسَلِينَ خَاتِمِ النَّبِيٌِنَ وشَفِيعِ اْلمُذْنِبِينَ اَنِيسِ اْلغَرِيبِينَ رَحْمَةٍ لِلْعَالمِنَ رَاحَةِ اْلعَاشِقِينَ مُرَادِ اْلمُشْتَاقِينَ شَمْسِ اْلعَارِفينَ سِرَجِ السَّالِكِينَ مِصْبَاحِ اْلمُقَرَّبِينَ مُحِبُّ اْلفُقَرَاءِ وَالْغُرَباۤءِ وَاْلمَسَاكِينَ سَيٌِدِ الثَّقَلَيْنِ نَبِيٌِ الْحَرَمَيْنِ اِمَامِ الْقِبْلَتَيْنِ وَسِيلَتَنَا فِي الدَّارَيْنِ صَاحِبِ قَابَ قَوْسَيْنِ مَحْبُوبِ رَبٌِ الْمَشْرِقَيْنِ وَالْمَغْرِبَيْنِ جَدٌِ الْحَسَنِ وَاْلحُسَيْنِ مَوْلاَنَا وَمَوْلَى الثَّقَلَيْنِ اَبِى الْقَاسِمِ سَيٌِدِنَا مُحَمَّدِبْنِ عَبْدِ اللَّهِ نُورِ مِنْ نُورِ اللَّهِ يَااَيٌُهَا اْلمُشْتَاقُونَ بِنُورِ جَمَالِهِ صلُّوا عَلَيْهِ وَعَلَى اَلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَسَلٌِمُو تَسْلِيمًا بِرَحْمَتِكِ يَا اَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.